NILAI, 17 September 2021 – Selaras dengan pengumuman YB Menteri Pengajian Tinggi untuk membenarkan kemasukan pelajar ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober 2021, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut baik akan ketetapan tersebut dan giat mengatur persiapan bagi memastikan proses kemasukan pelajar berjalan dengan lancar.

Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi Semester I, Sesi Akademik 2021/2022 di USIM masih lagi akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian. Manakala sesi PdP secara hibrid pula akan dilaksanakan bagi program pengajian yang melibatkan latihan amali, makmal, studio, badan beruniform dan keperluan mengikut standard program serta badan profesional. Pihak USIM juga secara dasarnya membenarkan pelajar berkeperluan lain seperti pelajar yang tidak mempunyai akses internet, pembelajaran yang tidak kondusif untuk pulang ke kampus dan mengikuti pembelajaran dalam talian dari kampus.

Manakala dari aspek kemudahan penginapan, USIM kini sedang membuat persediaan di kolej-kolej kediaman dengan konsep ‘Penginapan Gelembung Selamat Kampus’ yang mengutamakan kawalan keselamatan jangkitan daripada wabak COVID-19 disamping        menaik taraf kemudahan yang lebih menarik bagi pelajar USIM.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, sehingga kini 93.4% daripada 1686 kakitangan USIM telah lengkap dua (2) dos vaksin manakala 38.3% daripada 9,489 pelajar telah memberikan maklum balas melalui sistem istudent telah lengkap dua (2) dos vaksin. Bagi pelajar yang masih belum lengkap dos vaksin, pihak universiti akan membantu pelajar mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang berdekatan.

“Kita juga menetapkan bahawa warga USIM yang terdiri daripada pelajar, kakitangan pentadbiran dan kakitangan akademik perlu lengkap dua (2) dos vaksin jika ingin masuk ke kampus serta melibatkan diri dengan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) atau apa-apa bentuk pertemuan fizikal di dalam kampus. Tiada kompromi bagi warga USIM yang tidak lengkap vaksin untuk masuk ke kampus. Namun demikian, USIM akan bertindak berdasarkan ketetapan Kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.

USIM juga telah menyediakan Nota Panduan yang menjelaskan tatacara pensyarah untuk menentukan kaedah pengajaran dan penilaian yang bersesuaian kepada pelajar dan pada masa yang sama masih menjaga kualiti yang telah ditetapkan. Bagi prosedur operasi standard (SOP) kehadiran pelajar pula ke kampus pula, pihak USIM telah membuat ketetapan iaitu; kegunaan ruang pembelajaran dihadkan kepada 50% sahaja daripada kapasiti penuh.

USIM sentiasa komited dan cakna dengan keperluan dan kebajikan bakal pelajar dalam usaha memastikan semua pelajar dan bakal pelajar yang menyambung pengajian di USIM menikmati pengalaman kampus yang selesa dan selamat.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

 

 

**Gambar: Bernama