SYDNEY, 27 OGOS 2015 – Seramai 22 pelajar Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah USIM yang mewakili ahli Sekretariat Perhubungan Pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (SPP FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia telah melakukan misi pengembaraan menerusi program Global Islamic Student Outreach (GISO) ke Sydney, Australia bermula 20 hingga 27 Ogos 2015. Rombongan ke Sydney selama seminggu itu diketuai oleh Prof Madya Dr. Mohd Fauzi Mohd Amin Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Pengurusan Prestasi Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM.

Pengembaraan ilmiah ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa FPQS berkaitan kepentingan bertukar pandangan ilmiah serta menimba pengalaman di peringakat antarabangsa dan juga dapat melaksanakan aktiviti  kemasyarakatan di peringkat antarabangsa.

Pada hari awal lawatan, peserta program GISO telah  melakukan kunjungan ke pejabat Mufti Australia, SS Sheikh Dr. Ibrahim Abu Mohammed serta dapat berdialog bersama beliau berkaitan isu sebab ikhtilaf ulama dalam fatwa dan syarat-syarat seorang mufti di pejabatnya Grand Mufti. Di bangunan yang sama peserta dapat melawat station radio al-Quran al-Kareem.

Pada hari berikutnya peserta membuat lawatan  ke United Muslims of Australia (UMA) dan Al-Fitra Special Need Centre, di sini pelajar dapat bertukar edia dan pandangan berkaitan dakwah dan cabarannya, serta  projek pengembangan Braille Al-Quran.

Seterusnya peserta dapat melawat  pusat pengajian Islam di Islamic Science and Research Academy (ISRA)di South Parade Auburn dan diikuti dengan perbincangan dua hala bersama pengurusan ISRA dengan peserta rombongan berkaitan peluang penyelidikan yang berteraskan Islam.

Menurut pengarah program, Muhammad Solehan Fahmi Zulkapli, bumi Sydney memperlihatkan kepada mereka perbezaan budaya di antara Malaysia dan Australia dari aspek kebersihan, disiplin, budi bahasa dan kekuatan masyarakat Muslim minoriti di Australia yang berjaya mengembangkan Islam dengan strategi yang unik antaranya penubuhan UMA Brotherhood Gym untuk menarik masyarakat mendekati Islam.

Tambahnya, mahasiswa turut mendekati dan menyantuni gelandangan di sekitar Sydney yang rata-rata bukan penduduk tetap di sana dan juga bukan beragama Islam, di samping memberikan sumbangan kepada mereka.  Semua aktiviti yang dijalankan memberikan pengalaman yang berharga dan tidak dapat dilupakan.

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Mohd Amin,  berkata “Program ini telah berjaya membina hubungan dan kerjasama yang baik pada masa hadapan dengan pelbagai pihak yang sempat dilawati, serta memberikan pengalaman dan pengajaran yang terbaik kepada semua peserta dikalangan pelajar untuk dipraktikkan sebagai seorang Muslim khususnya dan mahasiswa USIM umumnya”.

Disediakan oleh:

Sekretariat Perhubungan Pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (SPP FPQS)

Dikemaskini oleh:

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204