NILAI, 24 JAN 2015 – Program Kembara Ilmiah Kelab Syariah & Undang-Undang (SLC), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke Pekanbaru dan Padang, Indonesia pada 20 hingga 24 Januari 2015 lalu memberi pengalaman bernilai kepada 15 orang Ahli Kelab Syariah & Undang-Undang yang terlibat.
Terdiri dari pelajar Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), program pengantarabangsaan berbentuk lawatan akademik (LA) ini memerlukan para pelajar untuk melaksanakan “transfer knowledge” dengan pusat pengajian terpilih yang dilawati semasa di sana.
Degasi yang diketuai Dr. Setiyawan Gunardi selaku pensyarah pengiring memulakan pengisian lawatan antarabangsa ini apabila pesawat yang membawa rombongan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kasim dari Kuala Lumpur. Ketibaan USIM di sana disambut ceria oleh urusetia dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim (UIN SUSKA) sebelum di bawa hotel penginapan.
Pelbagai program berbentuk akademik diatur sepanjang 5 hari 4 malam. Program pertama ialah menyertai Forum Antarabangsa di Islamic Center UIN SUSKA. Forum yang dihadiri kira-kira 250 orang terdiri daripada mahasiswa, pensyarah dan kakitangan universiti membincangkan perbandingan mengenai undang-undang, syariah dan adat kebudayaan dua negara Malaysia dan Indonesia.
Ahli panel forum yang terdiri daripada pimpinan pelajar dam pensyarah UIN SUSKA serta 3 orang mahasiswa USIM iaitu Abdul Alim Bin Abdul Aziz, Muhammad Kamil Bin Yazid dan Atyrah Hanim Binti Razali ternyata berjaya memukau khalayak yang menonton. Tamat forum, peserta juga di bawa melawat sekitar kampus terutamanya Fakultas Hukum dan Syariah.
“Institusi pengajian tinggi lain yang turut dikunjungi adalah Universitas Andalas (UNAND). Kunjungan ke Fakultas Hukum UNAND membuka pemikiran baharu pelajar USIM dalam mendalami ilmu undang-undang, selain berpeluang melihat perbicaraan dalam moot courtdan bertukar informasi mengenai silibus pengajian, kepimpinan dan pendedahan maklumat mengenai undang-undang dua negara serumpun ini melalui sesi perkongsian dua hala USIM-UNAND” kata Imran Razalle yang juga merupakan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM.
“Kunjungan ke Islamic Centre Bangkinang yang menjadi pusat aktiviti bagi masyarakat yang beragama Islam mengagumkan para peserta apabila dapat bersama-sama kanak-kanak seramai 100 orang yang berusia 4 hingga 7 tahun yang bersungguh-sungguh mendalami ilmu bacaan Al-Quran dan ilmu agama walaupun masih kecil”.
Ujarnya lagi “Lawatan kali ini juga membawa peserta ke perkampungan di Kelok 44. Keunikan masyarakat setempatnya adalah menanam padi menggunakan sistem bertingkat apabila penduduknya memanfaatkan kawasan lereng bukit dan curahan air mata air semulajadi. Kedinginan Puncak Lawang dengan suhu sekitar 24-27 C yang dikelilingi panorama bukit bukau, tumbuhan hijau dan keindahan sebuah tasik dikenali Danau Maninjau ternyata menggamit perhatian peserta semasa berada di sana”.
Semasa di Bukit Tinggi, peserta di bawa menerokai Lobang Jepang. Destinasi wajib dilawati jika ke sini merupakan satu laluan bawah tanah yang di bina oleh tentera Jepun pada masa dahulu untuk dijadikan tempat persembunyian, peyimpanan senjata, harta rampasan dan sebagai lubang untuk mengintip masyarakat aktiviti masyarakat setempat.
Sepanjang di sana ia secara tidak langsung membuka ruang kepada peserta untuk menyantuni dan mendekati sosio-budaya masyarakat setempat di Pekanbaru dan Padang khususnya masyarakat Kampar dan Minang yang sinonim dengan beberapa kawasan di Negeri Sembilan.
Lawatan ini telah memberi ruang kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif, kemahiran insaniah dan pembangunan modal insan.
Disediakan oleh :
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204