Bandar Baru Nilai, 8 April 2010 – “Kepimpinan Transformasi merupakan kemampuan yang membolehkan pemimpin mengenali keperluan untuk berubah dengan mencipta wawasan, membimbing perubahan dan melaksanakan perubahan dengan berkesan seterusnya perubahan yang dibawa akan memberi kepuasan dan meningkatkan motivasi dikalangan orang bawahannya”, kata Y.Berusaha En. Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai pembuka bicara program Bicara Kepimpinan Pragmatis.

Membawakan tajuk ‘Kepimpinan Transformasi Dalam Membina Budaya Kerja Cemerlang’ merupakan inisiatif Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM atau dikenali sebagai PRAGMATIS dalam memupuk motivasi yang tinggi dikalangan warga USIM.

Menurut beliau Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah tunggak pengurusan Universiti yang berperanan memimpin subordinat, membina dasar dan polisi, keterlibatan dalam tadbir urus serta membuat keputusan.

“Pemimpin cemerlang adalah pemimpin yang melebarkan kepimpinan dengan melatih pengganti yang lebih baik daripada dirinya. Usaha membimbing pegawai-pegawai baru oleh pegawai-pegawai senior perlu dijadikan budaya dan tidak menganggap mereka sebagai saingan” kata beliau lagi.

Dalam usaha menjadikan USIM sebagai model pengurusan Islam, beliau menekankan bahawa hubungan antara kakitangan akademik, kakitangan Pentadbiran baik dari kumpulan Pengurusan dan Profesional mahupun Sokongan perlu ada simbiosis tanpa dikotomi (pengasingan).

“Berlakunya dualisme atau dikotomi dalam sesuatu organisasi itu adalah kerana wujudnya tindakbalas dari segi persepsi, kepercayaan, nilai dan tindakan terhadap kebolehan seseorang atau sesuatu kumpulan” tambah beliau lagi.

Memetik petua khas mantan Ketua Pustakawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini merupakan Pengarah Pusat Perancangan Korporat dan Pengurusan Kualiti di USIM, Puan Putri Saniah Megat Abd Rahman, “Kecemerlangan seorang pegawai adalah kesan daripada budaya cintakan ilmu, seminar dan bengkel serta galakan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi mendalami sesuatu ilmu” ulas En. Muhammad Haizuan lagi.

Dalam memastikan kecaknaan dalam pengurusan, beberapa faktor perlu ditekankan seperti ruang komunikasi yang strategik iaitu tiada batasan dalam komunikasi, anjakan pentadbiran, penurunan kuasa, Espirit De Corp atau budaya keserakanan dan menyemarakkan budaya inovasi.

Sebagai rumusan dari Bicara Kepimpinan, En. Muhammad Haizuan berharap agar tidak berlaku dualisme dikalangan kumpulan kerja, menyemarakkan budaya inovasi, sentiasa mengiktiraf dan diiktiraf serta kumpulan Pengurusan dan Profesional perlu sentiasa menjadi peneraju dan rujukan.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028