NILAI– PALAPES Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Pertandingan Sukan Antara Kompeni sempena pelaksanaan Latihan Tempatan Siri Ke-10, iaitu latihan terakhir Pegawai Kadet bagi tahun 2025. Pertandingan ini berlangsung pada 9 dan 10 Ogos 2025 di Kompleks Sukan Tunku Najihah melibatkan penyertaan seramai 139 Pegawai Kadet dibantu oleh 3 Pegawai Tetap, 8 Pegawai SUK serta 15 Jurulatih dan Staf PALAPES.

Majlis Penutup Pertandingan telah disempurnakan oleh Ketua Jurulatih PALAPES USIM, Mej Noor Efendy bin Hj Samih. Kompeni Uthman Affan telah dinobatkan sebagai Kompeni Diraja setelah berjaya mengumpul 18 mata. Tempat kedua dimenangi oleh Kompeni Umar Al-Khattab (13 mata) manakala Kompeni Abu Bakar As-Siddiq menduduki tempat ketiga dengan 11 mata.

Pertandingan selama dua hari ini menyaksikan penyertaan tiga Kompeni Pegawai Kadet iaitu Kompeni Abu Bakar As-Siddiq, Kompeni Umar Al-Khattab dan Kompeni Uthman Affan bersama satu Kompeni Jemputan terdiri daripada Pegawai Tetap, Pegawai SUK, Staf dan Jurulatih serta gabungan Pegawai Kadet sebagai Kompeni Markas.

Sebanyak dua kategori utama dipertandingkan iaitu Sukan Ketenteraan (Menembak, Ujian Jalan Laju 3.2 km dan Road Relay) serta Sukan Awam (Merentas Desa 10 km, Bola Tampar, Bola Jaring, Bola Sepak dan Futsal). Dua acara Merentas Desa 10 km dan Menembak telah dilaksanakan lebih awal masing-masing pada 27 April 2025 dan 12 hingga 16 Mei 2025.

Program ini bertujuan memupuk semangat kerjasama, memberikan pendedahan serta pengalaman dalam pengendalian acara sukan ketenteraan dan awam, di samping menggalakkan warga PALAPES USIM mengamalkan gaya hidup sihat. Sepanjang pertandingan, semangat kesukanan dan perpaduan jelas terpancar dengan kesemua acara berjaya dilaksanakan tanpa sebarang isu keselamatan.

Ketua Jurulatih PALAPES USIM, Mej Noor Efendy bin Hj Samih dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama tanpa sempadan yang ditunjukkan oleh semua peserta sehingga penganjuran dapat berlangsung dengan jayanya.

“Pertandingan ini diharapkan dapat meningkatkan kesiapsiagaan anggota dan Pegawai Kadet serta membina semangat juang dan persaingan sihat dalam kalangan warga PALAPES USIM. Majlis penutup ini juga secara simbolik menandakan berakhirnya latihan PALAPES USIM bagi tahun 2025”, ujarnya lagi.

Penganjuran ini juga selaras dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30, Pencapaian Sinergi 3M – Teras Pertama: Sumber Manusia – Cakna Etos Kepahlawanan, yang menekankan bahawa pembangunan latihan dan kemahiran sumber manusia merupakan asas kepada keutuhan modal insan.