NILAI, 16 September 2021 – Bersempena sambutan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September, Komuniti OKU Pendengaran tidak melepaskan peluang untuk turut sama mengadakan pengisian yang penuh bermakna dengan mengadakan Majlis Bacaan Yasin Tanpa Suara. Majlis ini diadakan secara dalam talian iaitu bersiaran melalui saluran Youtube dan Facebook Sahabat FAQEH USIM. Majlis ini merupakan anjuran Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI MAKTUM) USIM dan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH).

Program ini turut mendapat sokongan daripada Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM, Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA), Persatuan Orang Pekak Selangor Darul Ehsan (POPSDE) dan Persatuan Kebajikan OKU Pendengaran Kawasan Seputeh (PKOKS).

Menurut Muhammad Nabil Mohd Firdaus Pengerusi Sahabat FAQEH USIM 2021, persatuan Khidmat Mahasiswa Cakna OKU merasa terpanggil untuk memberi ruang dan peluang bagi meraikan ketidakupayaan komuniti OKU Pendengaran ini dalam membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.

“Ini merupakan program julung kalinya diadakan bacaan Yasin dengan menggunakan Kod Tangan Quran”.

Nabil berkata lagi, program ini turut memperkenalkan kaedah dan teknik membaca Quran bagi komuniti OKU Pendengaran dengan mengisyaratkan setiap bentuk huruf-huruf Quran (Rasm) tanpa tanda baris (Dabt) yang diwakili Kod Tangan Quran (KTQ).

“Aplikasi Quran Isyarat ialah aplikasi pertama yang dibangunkan USIM. Ia merupakan platform yang digunakan dan menjadi panduan pembacaan dalam program ini. Peserta dan orang ramai boleh muatnaik perisian (install) Aplikasi Quran Isyarat secara percuma melalui App Store atau PlayStore”, jelasnya.

Turut serta dalam majlis ini adalah Encik Amin Zuhaili Pengerusi Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA). Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada USIM khususnya yang menganjurkan program Majlis Bacaan Yasin Tanpa Suara.

“Tahniah diucapkan dan cukup lengkap bagi kumpulan OKU Pekak ini yang membaca yasin pada malam ini. Alhamdulillah, saya berharap agar semua jangan berhenti membaca al quran, teruskan membaca menggunakan kod tangan Quran, dan jangan malu untuk bertanya dengan guru-guru sekiranya ada masalah untuk memahami bacaan dalam al-quran”, ujar Encik Amin.

Manakala bagi Puan Azizah Saari yang berasal dari Kedah berkata, ini merupakan peluang terbaik yang menggalakkan kami sebagai golongan OKU Pekak untuk sama-sama membaca al-quran.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak USIM, Yayasan FAQEH yang bertungkus lumus membangunkan aplikasi quran isyarat, ia dilihat mesra dengan OKU pendengaran di mana ayat-ayat al quran dan terjemahan yang mesra dengan keperluan kami”.

Ujarnya lagi, agar semua warga pekak khususnya untuk sama-sama  membiasakan diri dengan ilmu al quran. Ini membuktikan bahawa walaupun Allah menciptakan kita sebagai OKU pendengaran, tapi alhamdulilah Allah menciptakan juga kita dekat dengannya kerana dapat mempelajari al quran. Saya menggalakkan semua dapat melazimi bacaan al quran dalam kehidupan seharian kita. Selamat menyambut hari Malaysia, banggalah menjadi rakyat Malaysia. Mudahan amalan bacaan yasin kita dirahmati Allah.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan