NILAI, 12 Ogos 2020 –  Bagi memupuk dan mengamalkan integriti serta  nilai-nilai murni dalam kalangan ahli Senat Universiti, seramai 43 Ahli Senat yang terdiri daripada Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Dekan Fakulti dan semua ketua kampus cawangan serta profesor sepenuh masa telah hadir ke Majlis Lafaz Ikrar bersempena Mesyuarat Senat kali ke-118 yang berlangsung di Dewan Senat Canselori USIM. Majlis Lafaz Ikrar ini merupakan julung kali diadakan sejak penubuhan USIM.

Menurut Naib Canselor Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin selaku Pengerusi Senat, warga akademik termasuk ahli senat  USIM diingatkan supaya menjalankan tugas dengan penuh integriti bagi menjadi contoh kepada mahasiswa dalam usaha melahirkan modal insan yang mengamalkan nilai-nilai murni, juga adalah menjadi tanggungjawab ahli senat untuk memastikan integriti akademik di universiti sentiasa terpelihara dan tidak dicemari dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

”Tambahan, USIM sebagai sebuah universiti Islam mempunyai cabaran agar setiap ahli akademik serta pelajar mempunyai integriti akademik yang tinggi kerana setiap ilmu yang kita pelajari adalah ilmu Allah SWT”.

”Uniknya USIM adalah universiti yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli yang mana setiap ilmu konvensional yang diajarkan diintegrasikan dengan ilmu Naqli yang datang dari al-Quran mahupun hadis. Sememangnya ia bertepatan dengan falsafah USIM iaitu paduan di antara ilmu Naqli dan Aqli serta budi pekerti yang mulia adalah teras utama membentuk generasi cemerlang dan masyarakat berilmu”, jelas Prof. Ridza.

Senat Universiti merupakan badan tertinggi akademik bagi Universiti yang tertakluk kepada statut, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan, berhak mengawal dan memberikan arahan secara am mengenai pengajaran, penyelidikan, peperiksaan, pengurniaan ijazah, diploma, sijil dan kepujian akademik yang lain. Antara bidang kuasa Senat Universiti adalah menggubal dasar dan kaedah pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan, penyelidikan, biasiswa dan latihan di dalam, oleh atau dari Universiti, menggubal dasar untuk melindungi kebebasan akademik dan kecemerlangan profesional dan memastikan standard pendidikan dalam kursus-kursus yang diadakan di dalam, oleh atau dari Universiti.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan