Nilai, 12 Jan 2011 – Buat kali ketiga berturut-turut, Seminar Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko (ASRIM) telah berjaya dianjurkan oleh mahasiswa Tahun 3 program Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, yang diketuai oleh Saudara Muhammad Izwan Raif.

Bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, seminar yang bertajuk “Aspek Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko di dalam Dunia Pelaburan” ini  telah disertai oleh 300 mahasiswa dari  beberapa buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekitar Lembah Kelang. Antaranya ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).

Majlis perasmian disempurnakan oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, USIM. Menurut beliau, kesungguhan pihak universiti untuk menganjurkan seminar seperti ini menunjukkan komitmennya dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan di USIM seterusnya menyediakan peluang industri dalam sektor kewangan dan pelaburan yang merupakan salah satu  komponen terpenting di dalam meningkatkan ekonomi negara.

“Pasaran Bursa Kuala Lumpur contohnya merupakan bursa saham yang terbesar di Asia Tenggara dan itu adalah antara misi kerajaan untuk melihat Malaysia membangun sebagai Pusat Kewangan Islam dimasa akan datang”, tambahnya lagi.

Antara objektif program ASRIM ialah memberi pengetahuan dan pengalaman kepada para pelajar tentang cara-cara menguruskan organisasi serta menerapkan sifat kepimpinan bagi menghadapi persaingan yang semakin mencabar di masa hadapan. Selain itu, termasuklah menyahut seruan kerajaan dalam melaksanakan konsep modal insan di kalangan mahasiswa/i yang bukan hanya mampu menguasai teori akademik semata-mata bahkan dapat mengaplikasikannya melalui penganjuran program yang bermanfaat.

Seminar ini juga merupakan program yang terawal yang telah dijalankan oleh pelajar-pelajar USIM pada tahun 2011 dan sambutannya sangat memberangsangkan. Selain dapat menaikkan nama FST dan USIM kepada agensi serta industri yang berkaitan dengan Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, seminar ini juga dapat membuka jalan kepada pihak universiti khusunya untuk menjalinkan kerjasama diperingkat global pada masa hadapan.

Oleh :

Bahagian Komunikasi Korporat & Perhubungan Antarabangsa
Seksyen Hubungan Media dan Publisiti
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA