NILAI, 9 NOV 2015 – Seramai 2,502 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing di Majlis Konvokesyen ke-13 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diadakan selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November 2015 bertempat di Dewan Tuanku Canselor.
Majlis Konvokesyen kali ini mencatat peningkatan graduan berbanding tahun lalu dengan kenaikan sebanyak 48 peratus. Ia merangkumi pecahan mengikut tahap pendidikan iaitu 34 orang penerima Doktor Falsafah; 142 orang penerima Sarjana; 30 orang penerima Diploma dan 2,296 orang penerima Ijazah Sarjana Muda. Daripada jumlah tersebut Doktor Falsafah mencatatkan peningkatan sebanyak 48 peratus, penambahan kepada 34 graduan berbanding 23 graduan pada tahun lepas. Sarjana mencatat peningkatan sebanyak 61 peratus, penambahan kepada 142 graduan berbanding 88 graduan pada tahun lepas. Turut menunjukkan peningkatan adalah Diploma Lanjutan sebanyak tiga peratus, penambahan kepada 30 berbanding 29 graduan pada tahun lepas. Bagi Ijazah Sarjana Muda pula peningkatan adalah sebanyak 48 peratus, kenaikan kepada 2,292 berbanding 1,549 graduan pada tahun lepas.
Pecahan graduan bagi sidang satu seramai 333 graduan, sidang dua seramai 490 graduan, sidang tiga seramai 760 graduan, sidang empat seramai 452 graduan dan sidang lima serama 467 graduan.
Majlis Konvokesyen ini mencipta sejarahnya apabila melahirkan seramai 10 orang graduan perintis daripada Program Sarjana Muda Sains Sebibina, Fakulti Sains dan Teknologi. Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) juga melahirkan graduan perintis dari 3 program barunya iaitu Program Pendidikan (Pendidikan Islam) dengan Kepujian (PPG), Program Pendidikan (Sekolah Rendah) dengan Kepujian (Pendidikan Islam) (PPG) dan Program Pendidikan (Sekolah Rendah) dengan Kepujian (Bahasa Inggeris) (PPG).
“Saya berharap agar semua graduan dapat meluaskan imej dan citra USIM kepada masyarakat yang sentiasa dahagakan golongan ilmuwan profesional yang berpendidikan sepadu seterusnya mampu memimpin masyarakat majmuk serta mempunyai potensi yang tinggi untuk menerajui pembangunan negara,” ucap Dato Naib Canselor mengakihiri ucapannya.
Tema konvokesyen pada kali ini adalah USIM Muqarnas. Pemilihan tema ini adalah bersempena dengan kejayaan USIM melalui Fakulti Sains dan Teknologi yang telah melahirkan graduan sulung daripada Program Sarjana Muda Sains Senibina. Tema reka bentuk konvokesyen ke-13 diilhamkan daripada konsep Muqarnas, iaitu salah sebuah binaan yang paling asli dalam seni bina Islam, tanpa merujuk kepada mana-mana ketamadunan sebelumnya. Pengkaji senibina Islam menjangkakan Muqarnas berasal daripada Baghdad, berdasarkan beberapa kubah bercirikan Muqarnas yang ditemui seawal 879H (1468M).
Muqarnas merupakan elemen dekorasi tiga dimensi pada bahagian dalam kubah bangunan, yang diinspirasikan oleh komposisi geometri sarang lebah. Perkataan muqarnas berasal dari Bahasa Arab, yang bererti kubah stalaktit. Tidak seperti seni dekorasi lain yang umumnya bersifat dua dimensi, muqarnas ditransformasi menjadi seni dekorasi yang mempunyai ruang didalamnya. Hal inilah yang menjadikan muqarnas menarik untuk dikaji secara mendalam, dimulakan dari segi estetika bentuk, fungsi, sehinggalah kepada susunan makna dan pelajaran yang dapat diperoleh dari perletakannya.
Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen ke-13 telah disempurnakan oleh DYMM Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Tuanku Canselor USIM. Turut sama berangkat ke majlis ini adalah YAM Tengku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz selaku Pro-Canselor USIM .
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204