NILAI, 15 Okt 2014 – Penubuhan kursi kepemimpinan dengan kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen menjadikan Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dipilih sebagai penyandang kursi akademik Kepemimpinan Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kursi yang dibiayai dananya oleh Yayasan Nurul Yaqeen sebanyak RM500,000 dinamakan sebagai Kursi Tuan Haji Mohd Yassin bin Muhammad iaitu ayahanda kepada yang Amat Berhormat (YAB) Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Yassin merangkap Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen.

Yayasan Nurul Yaqeen (YNY) adalah sebuah institusi berteraskan kebajikan yang memberi fokus terhadap agenda pembudayaan tradisi keilmuan sejak ditubuhkan pada 12 Mac 1991. Ia ditubuhkan bermatlamat membantu, memimpin dan meningkatkan taraf pencapaian dan kecemerlangan masyarakat Bumiputera, khususnya bangsa Melayu dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, pendidikan, kerohanian, kepemimpinan dan sosiobudaya, serta percambahan dan perkembangan bidang keilmuan.

Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak yang dilantik berkuat kuasa 4 Ogos 2014 telah menjalankan tugas rasmi sebagai pemegang kursi akademik ini di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM. Kursi ini dinamakan atas nama Tuan Haji Mohd Yassin sebagai menghargai ketokohan Allahyarham semasa hayatnya yang progresif, proaktif serta memiliki jati diri dalam memperjuangkan kepentingan agenda Melayu dan pembangunan Islam di Malaysia khususnya menerusi bidang pendidikan dan pentadbiran. Allahyarham merupakan orang alim yang warak, memiliki sifat ikhlas dan tawaduk serta menjadi contoh teladan kepada generasi kini. Pendirian dan sumbangan Tuan Haji Mohd Yassin ini selari dengan gagasan kepimpinan Kerajaan Malaysia pada masa kini.

Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak kini merupakan Presiden, International Association of Universities yang berpangkalan di Paris, Perancis, Felo Akademi Sains Malaysia, ahli World Academy of Art and Sciences dan Malaysian Institute of Malaysia. Beliau juga merupakan kolumnis akhbar New Straits Times sejak tahun 1995 lagi yang banyak menulis mengenai pelbagai isu penting berkaitan pendidikan, sains dan peristiwa semasa.

Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak amat berpengalaman luas dalam dunia akademik serta pentadbiran pengajian tinggi dalam dan luar negara. Kepimpinan beliau terserlah semasa menerajui Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Naib Canselor selama 11 tahun dan berjaya meletakkan universiti tersebut berstatus APEX dan satu-satunya universiti awam di negara ini berstatus demikian.

Pengalaman luas dalam bidang akademik dan penyelidikan berkaitan dengan gagasan kepimpinan dalam dunia pendidikan, ia mampu memberi impak positif kepada USIM dan dapat menyumbangkan kepada pembangunan ilmu kepimpinan Islam di samping dapat menyalurkan dan memanfaatkan pemikirannya kepada komuniti global, khususnya masyarakat Islam.

Dengan tekad untuk menjadi pusat rujukan global dalam pembangunan akademik yang mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli, USIM sentiasa meletakkan kecemerlangan akademik sebagai salah satu teras utama dalam memperkaya dan mengembangkan ilmu. Tentunya, pelantikan serta sumbangan yang diberikan oleh beliau mampu memacu USIM dengan lebih pantas untuk merealisasikan tekad tersebut.

Sebagai penyandang kursi akademik ini, Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak akan mengetuai bengkel, wacana ilmiah, seminar, persidangan, membentangkan kertas kerja, sebagai perunding dan pembimbing fakulti bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di USIM selain menjalankan penyelidikan dan membuat penulisan yang boleh diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi dan buku-buku ilmiah.

Disediakan oleh :

Syazlyna Jamil

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204