NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melaksanakan Perbarisan Penyerahan Bendera USIM bersempena Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Ke-43 bertempat di Dataran Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), USIM pada 24 Ogos 2025.
Upacara penuh simbolik ini melibatkan 39 Pegawai Kadet Peringkat Senior yang diketuai oleh 7546377 PRK Abdullah Sani bin Abdul Ghani dengan disertai oleh 15 pegawai, 13 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta 15 Pegawai Kadet Pembantu.
Penyerahan Bendera USIM telah disempurnakan oleh Timbalan Komandan PALAPES USIM, Mejar Rozaimi Kamarudin dan disaksikan oleh Ketua Jurulatih, Mejar Noor Efendy Hj Samih.
Dalam ucapannya, Timbalan Komandan Mejar Rozaimi Kamarudin menegaskan bahawa penyerahan bendera bukan sekadar menyerahkan sehelai kain, sebaliknya ia melambangkan maruah, tanggungjawab, dan semangat perjuangan para pegawai kadet. Simbol ini menjadi pengikat iltizam sepanjang tiga tahun latihan, sekali gus membentuk kepimpinan yang berdaya tahan, berdisiplin, dan cekal menghadapi cabaran.
Beliau turut menekankan bahawa bendera yang dikurniakan ini adalah tanda kepercayaan dan amanah daripada pihak universiti serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada pegawai kadet yang bakal ditauliahkan. Sehubungan itu, setiap pegawai kadet diingatkan agar sentiasa menjaga maruah institusi, menunaikan tanggungjawab dengan penuh integriti, serta mengekalkan etos kepahlawanan dalam setiap amanah yang digalas.
Majlis ini bukan sahaja memperkukuh semangat kepahlawanan dan kepimpinan dalam kalangan pegawai kadet, tetapi juga menyokong aspirasi universiti untuk melahirkan graduan seimbang dari segi ilmu, sahsiah, dan kepemimpinan. Hal ini sejajar dengan Amanat Naib Canselor USIM, Sasaran Keempat: Ekosistem Pembolehdaya dan Pembangunan Bakat, yang menekankan pemantapan Model Pembangunan Bakat Kepimpinan Berasaskan Kompetensi dengan mengintegrasikan Ilmu Naqli dan Aqli (INAQ).