Sepang, 11 Mei 2009 – Buat kali kedua Fakulti Sains dan Teknologi (FST) telah menganjurkan Malam Anugerah Fakulti Sains dan Teknologi (MAFaST’09) bertempat di Hotel Pan Pacific, KLIA. Program ini merupakan acara tahunan yang menjadi platform untuk para kakitangan akademik dan staf pentadbiran serta para pelajar berkumpul dan meraikan bakal-bakal graduan kumpulan kedua Fakulti Sains dan Teknologi.

Antara objektif majlis ini diadakan adalah untuk meraikan bakal-bakal graduan kumpulan kedua FST bagi Program Bioteknologi Makanan, Program Keselamatan & Jaminan Maklumat dan Program Sains Aktuari & Pengurusan Risiko di samping memberikan pengiktirafan kepada kakitangan dan pelajar yang terlibat dalam pelbagai aktiviti sepanjang sesi 2008/2009.

Dalam majlis tersebut turut disampaikan sepuluh anugerah kepada bakal-bakal graduan dan kakitangan USIM seperti Anugerah Hadiah Motivasi Pelajar , Anugerah Dekan Pelajar, Anugerah Khas Akademik , Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Jasa Bakti, Anugerah Kokurikulum, Anugerah Kepimpinan, Anugerah Kakitangan Pentadbiran Paling Berdedikasi, Anugerah Pensyarah Paling Berdedikasi dan Anugerah Penyelidikan FST 2008.

Anugerah-anugerah tersebut telah disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Jalani Sukaimi, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi. Turut hadir Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor HEP & Alumni.

Oleh :
pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8028