NILAI- Sebagai satu usaha untuk terus memperkukuh kedudukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai universiti rujukan ilmu Naqli dan Aqli serta mengembangkan jaringan akademik antarabangsa khususnya dalam bidang hadis, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM telah menubuhkan Kumpulan Penyelidikan  Markaz al-Bath li al-Hadith al-Nabawi  atau singkatannya MARBAWI.

Inisiatif penubuhan Kumpulan Penyelidikan MARBAWI ini merupakan satu usaha bagi menyemarak penyelidikan hadis, menangani cabaran pemalsuan hadis digital, serta membangunkan sumber rujukan hadis sahih dan berautoriti. Melalui kewujudkan MARBAWI, USIM secara langsung akan menjadi pusat rujukan utama dalam penyelidikan, pengkajian dan penyebaran ilmu hadis Nabawi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pelancaran MARBAWI telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dr Zulkifli Hassan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini di USIM bersempena Syarahan Perdana dari tokoh ulama hadis terkemuka Jordan, Syeikh Dr. Hammam Abdulraheem Said bertemakan “Ensiklopedia Hadis dalam Pembangunan Ummah Madani”

“Saya amat mengharapkan agar Kumpulan Penyelidikan MARBAWI di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM menjadi pusat rujukan serantau yang bukan sahaja menghimpunkan manuskrip dan penyelidikan hadis, tetapi juga menyemai budaya ilmu yang berteraskan nilai Rasulullah SAW — nilai kasih sayang, amanah dan kebijaksanaan dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat” ucap Dr Zulkifli.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menyifatkan pelancaran Kumpulan Penyelidikan MARBAWI amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan Islam yang bersifat multidisiplin dan berpaksikan nilai.

“Universiti meletakkan harapan agar MARBAWI akan menjadi pusat penyelidikan hadis yang unggul, menghimpunkan kepakaran dalam bidang hadis, teknologi dan bahasa bagi melahirkan karya yang berimpak tinggi dan berorientasikan ummah”, katanya.

Menurut FPQS, misi penubuhan MARBAWI  adalah untuk menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi dalam bidang hadis Nabawi dengan pendekatan yang sahih, berautoriti, dan berlandaskan metodologi penyelidikan terkini. Selain itu, ia akan turut memperkasakan keilmuan hadis dalam masyarakat dengan menyebarkan kefahaman yang mendalam melalui penerbitan, seminar, dan program pendidikan serta melahirkan penyelidikan dan pakar akademik yang berkemahiran tinggi dalam bidang hadith.

Antara inovasi berkaitan hadis yang telah dihasilkan oleh Kumpulan Penyelidikan MARBAWI adalah Hadis Word Add In (sebuah aplikais tambahan untuk Ms Word yang memudahkan untuk menambah teks hadis dalam penulisan) ; I-Takhrij (melatih pelajar mengenalpasti data hadis yang diperlukan dalam takhrij); dan Hadis Lacunae AI (sebuah aplikasi kecerdasan buatan yang dapat membantu dalam menjalaskan maksud perkataan tidak boleh terjemah yang terdapat dalam hadis);

Inovasi lain adalah I-Semak Sanad (platform pengesahan kesahihan hadis melalui sanadnya melalui Pengkalan Data Perawi yang komprehensif); dan Hadith Gate (laman web hadis yang komprehensif menggabungkan pelbagai aplikasi hadis).

Kumpulan penyelikan ini turut cemerlang dalam pertandingan inovasi diperingkat antarabangsa antaranya memperoleh pingat emas dalam International Conference And Exposition on Inventions by Institutions of Higher Education (PENCIPTA) 2022, Malaysia Technologi Expo (MTE) 2022 dan The Interbational Invention, Inovations and Technology Exhibitions (ITEX) 2021.

 

Oleh: Mohd Zaini Othman