NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dengan kerjasama Majlis Belia OKU Malaysia (MBOKU) dan Pusat Islam USIM telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana MBOKU 2026 bersempena sambutan Nuzul Al-Quran di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM pada 7 Mac 2026.

Program berkenaan berjaya menghimpunkan kira-kira 300 belia Orang Kurang Upaya (OKU) dari seluruh Malaysia, sekali gus menjadi platform bermakna dalam menyemarakkan penghayatan al-Quran serta memperkukuh nilai kerohanian dalam suasana yang inklusif dan penuh kebersamaan.

Penganjuran majlis ini turut diisi dengan pelbagai pengisian bermanfaat termasuk Sesi Halaqah Inklusif Al-Quran bersama belia OKU, tazkirah Ramadan serta penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri, yang bertujuan memberi ruang kepada komuniti belia OKU untuk mendalami al-Quran, menghayati keberkatan Ramadan serta menyemai semangat keprihatinan dalam kalangan masyarakat.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, YB Tuan Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid, yang juga merupakan Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran program seperti ini mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasa komuniti OKU melalui pendekatan yang menitikberatkan pembangunan rohani, kebajikan serta penglibatan sosial.

“Majlis ini bukan sahaja memberi ruang kepada belia OKU untuk bersama-sama menghayati keberkatan Ramadan, malah memperkukuh semangat kebersamaan dan sokongan dalam komuniti. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, saya yakin komuniti OKU mampu terus menyerlahkan potensi dan memainkan peranan yang signifikan dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia OKU Malaysia, Muhammad Ghazali Othman, berkata penganjuran majlis tersebut mencerminkan komitmen MBOKU dalam memperkasa pembangunan holistik belia OKU melalui penglibatan aktif dalam program kerohanian, sosial dan komuniti.

Menurut beliau, program seumpama ini bukan sahaja menggalakkan penghayatan al-Quran dalam kalangan belia OKU, malah turut memperkukuh jaringan kerjasama antara komuniti OKU, institusi pendidikan serta agensi berkepentingan dalam usaha membina masyarakat yang lebih inklusif.

Penglibatan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM dalam program ini turut mencerminkan komitmen universiti dalam memperjuangkan agenda inklusiviti serta pembangunan komuniti OKU melalui pendekatan penyelidikan, advokasi dan penglibatan komuniti secara berterusan.

Majlis ini diharap dapat terus memperkukuh ukhuwah dalam kalangan komuniti belia OKU di Malaysia di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif, prihatin dan menyantuni semua lapisan masyarakat.

Oleh: Khairunnisa Ismail