NILAI – Menggariskan konsep kebersamaan sebagai tunjang utama untuk membawa USIM ke tahap kegemilangan adalah nilai murni yang ditekankan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM melalui Amanat Tahun Baharu 2013 Naib Canselor bertemakan “Mempelopori Sains Islam, Memimpin Keilmuan”.

Sebagai Naib Canselor yang ketiga, beliau mendapati warga USIM yang terdiri daripada staf akademik, pentadbiran, sokongan dan pelajarsudah matang dan mampu memberi pendapat tentang bagaimana USIM harus bergerak ke arah kegemilangan. Justeru, menjadi hasrat beliau bermula Tahun 2013 ini perjalanan seterusnya Universiti ini adalah berlandaskan kepada 3 pegangan utama iaitu Tanggungjawab Bersama (Shared Responsibility), Dikemudikan Bersama dan Bekerjasama untuk membina dan membawa USIM ke arah kegemilangan.

Sepanjang tahun 2012, USIM telah menggapai pelbagai kejayaan yang amat membanggakan dalam bidang akademik, penyelidikan dan mahasiswanya. Penarafan lima bintang dalam SETARA 2011 dan memperolehi tiga bintang dalam D-SETARA bagi Program Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri sudah membuktikan USIM mempunyai kelebihan yang luar biasa mengatasi umurnya yang masih muda. Menurutnya “Beberapa cabaran masa hadapan telah digariskan oleh Universiti seperti menintegrasikan ilmu aqli dan naqli dengan sebaiknya, memupuk kesarjaan ahli akademik, penyediaan ekosistem penyelidikan dan inovasi yang kondusif dan profil pelajar al-Abrar.”

“Kita harus lakukan transformasi berstruktur (transformation by design) dan bukan berharap Universiti ini gemilang dengan cara kebetulan (by chance). Kesemua cabaran yang saya sebutkan telah dibincangkan di dalam beberapa bengkel termasuk gabungan dengan pelajar agar konsep shared responsibility dipraktikkan untuk kita bersama-sama membina USIM.”

Selain itu, bagi menjadi sebuah IPT yang relevan, beberapa agenda penting akan diberika penekanan oleh USIM sepanjang tahun ini iaitu menjenamakan dan memposisi USIM, implementasi Strategi Lautan Biru, merekayasa peranan USIM dalam mempelopori dan memacu Sains Islam.

Naib Canselor turut mengumumkan penubuhan Institut Sains Islam (ISI), Pusat Komunikasi Strategik (PKS), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Tabung Enterprise untuk setiap PTj, Pembiayaan Wakaf dan Islamic Consortium for Academic Quality and Research Advancement (i-IQRA’.)
Melalui Majlis Amanat ini, turut dilancarkan secara rasmi Geran Penyelidikan USIM dan Tabung Al-Abrar serta penyampaian Geran kepada setiap Persatuan/Kesatuan USIM sebanyak RM 4000.00 dan hadiah insentif pengguna aktif sistem GOALS.

Diadakan di Dewan Kuliah Pusat 3, majlis ini dihadiri oleh YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Unibersiti, Ahli-hli Lembaga Pengarah Universiti, Pengurusan Universiti serta para kakitangan dan pelajar.