NILAI- Dalam era kepimpinan yang serba mencabar dan dinamik telah menuntut usaha dan komitmen penuh institusi pengajian tinggi negara melahirkan golongan pentadbir muda yang cekap dan serba boleh. Menyedari hakikat ini, Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) telah menganjurkan Program KARISMA Pemimpin Muda MADANI pada 12 hingga 14 Julai 2025 bertempat di AKEPT, Bandar Enstek, Negeri Sembilan dengan kerjasama AKEPT, Kementerian Pengajian Tinggi dan KARISMA.
Program selama tiga hari ini menyasarkan pembentukan pentadbir muda IPTA yang berwibawa, berpandangan jauh dan berpaksikan nilai MADANI. Program dibentuk untuk memperkasa pentadbir muda dari pelbagai aspek, merangkumi kepimpinan berasakan nilai dan integriti, pengurusan krisis dalam konteks pendidikan tinggi, pembinaan pasukan berkesan serta pengukuhan spiritual dan jati diri kebangsaan.
Penglibatan peserta dalam kalangan pentadbir muda USIM telah membuktikan institusi pendidikan ini serius dalam memperkasakan elemen kepimpinan holistik dalam usaha menerokai transformasi pendidikan negara. Antara impak yang besar kepada pentadbir muda diketengahkan dalam beberapa slot utama iaitu “Kepimpinan Berteraskan Hati”, “Tak Semua Boleh Memimpin! Anda Punya Potensi?’ dan “Pengurusan Krisis dalam IPT”. Di samping membentuk nilai dan potensi kepimpinan, elemen kerohanian dan etika turut ditekankan selaras dengan aspirasi insan MADANI.
Salah satu segmen yang paling dinanti ialah Sesi dialog Bersama YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi. Sesi ini memberi ruang dialog terbuka antara pentadbir muda institusi pengajian tinggi dengan kepimpinan tertinggi kementerian. Sesi ini berlangsung dalam suasana yang inklusif, jujur dan penuh aspirasi melalui perkongsian isu berbangkit yang memerlukan keprihatinan dari pihak kementerian. Sesi bersama YB Menteri bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi ruang yang signifikan dalam mengarusperdanakan suara pentadbir muda dalam pembangunan polisi pendidikan tinggi negara.
Justeru, program ini merupakan satu platform strategik dan efektif bagi USIM untuk melahirkan generasi pentadbir muda yang memiliki ketangkasan intelektual malah digerakkan oleh nilai-nilai teras Malaysia MADANI seperti integriti, ihsan, daya cipta, dan hormat. Kepimpinan MADANI yang dicorakkan melalui program ini bukan sahaja menyumbang kepada kecemerlangan pengurusan IPT, tetapi juga menjadi asas kepada pembangunan negara yang inklusif, beretika dan berdaya saing.
Oleh: Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee, Felo Muda AKEPT