NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan bagi meraikan komitmen dan sumbangan pemegang perjawatan yang memikul amanah kepimpinan dalam organisasi latihan PALAPES sepanjang tahun 2025. Majlis berlangsung pada 26 November 2025 di Dewan Kuliah Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) dengan penglibatan 2 pegawai, 2 pegawai muda, 8 staf serta jurulatih, dan 93 pegawai kadet.
Majlis telah disempurnakan oleh Mejar Noor Efendy Hj. Samih selaku Ketua Jurulatih PALAPES USIM, yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada lapan penerima yang memegang jawatan penting merangkumi Pegawai Rendah Kanan, Pegawai Rendah Muda dan Pegawai Kadet Sarjan bagi peringkat Senior, serta Pegawai Kadet Sarjan dan Pegawai Kadet Koperal bagi peringkat Intermediate. Pengiktirafan ini diberikan khusus kepada mereka yang diberi tanggungjawab memimpin, menyelaras serta membantu pelaksanaan arahan dan tugasan di peringkat kompeni dan pasukan sepanjang tahun latihan.
Penyampaian sijil ini bertujuan mengiktiraf kewibawaan para pemegang perjawatan, menghargai kepatuhan mereka dalam melaksanakan arahan, serta menzahirkan penghargaan terhadap komitmen tinggi mereka dalam menyempurnakan amanah yang diberikan. Langkah ini juga berperanan meningkatkan motivasi pegawai kadet sekaligus memberi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk terus menunjukkan prestasi terbaik dalam latihan ketenteraan dan kepimpinan mahasiswa.
Dalam ucapannya, Ketua Jurulatih menegaskan bahawa pengiktirafan ini bukan sekadar penghormatan, tetapi satu tradisi penting dalam PALAPES USIM bagi menyuntik semangat juang, disiplin dan daya tahan mental dalam kalangan pegawai muda serta pegawai kadet. Beliau menekankan bahawa amalan ini berperanan mendidik pegawai kadet menjadi pemimpin yang efektif, berkualiti, berintegriti dan mampu menjadi contoh kepada warga universiti. Menurut beliau, penghargaan sebegini turut menjadi wadah pembentukan sahsiah kepimpinan yang mantap, selaras dengan keperluan latihan ketenteraan masa kini.
Majlis ini turut mendukung aspirasi universiti selaras dengan Amanat Naib Canselor Teras Ke-4: Ekosistem Pembolehdaya dan Pembangunan Bakat melalui Warga USIM: Pemimpin dan Berintegriti, serta seiring dengan Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat melalui Objektif Ketiga: Sahsiah Keperwiraan (Warrior Ethos) yang menekankan pembinaan jiwa perwira berteraskan etos kepahlawanan, nilai profesionalisme dan jati diri.


