PORT DICKSON – Seramai 40 mahasiswa Urusetia Kokurikulum Pelajar (UKP) dan Sekretariat Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (SekreFaST) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjayakan libatsama masyarakat Jaulah Sukarelawan Siswa Madani 2025: Sentuhan Kasih Port Dickson pada 10 Mei 2025 bertempat di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan. Program ini adalah anjuran UKP dari Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) dengan kerjasama badan pelajar SekreFaST. Inisiatif ini memberi fokus kepada usaha menyantuni komuniti hospital melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti kesukarelawanan yang berimpak tinggi.

Penasihat program, Prof. Madya Dr. Ahmad Nazrul Rosli, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan menekankan bahawa program ini bukan sahaja berfokus kepada khidmat masyarakat tetapi juga sebagai platform membina sahsiah mahasiswa melalui aplikasi ilmu Naqli dan Aqli dalam konteks sebenar. “Pengalaman ini secara langsung membentuk pelajar menjadi insan berempati, berdaya saing serta mampu memberi impak positif kepada komuniti,” ujarnya.

Program dimulakan seawal jam 7.00 pagi dengan sesi pendaftaran dan sarapan di kampus sebelum bertolak ke Hospital Port Dickson. Ketibaan disambut dengan sesi taklimat ringkas serta diteruskan dengan majlis perasmian program dan penyerahan awal sumbangan kepada pihak hospital sebagai simbolik permulaan rasmi jaulah. Pengarah Hospital Port Dickson, Dr. Norzaliza binti Razali, turut hadir menyambut ketibaan peserta serta memberikan sokongan terhadap inisiatif yang dijalankan. Sumbangan termasuk barangan keperluan seperti tongkat, kerusi roda, kipas dinding dan barangan kesihatan lain. Program kemudian diteruskan dengan pelbagai aktiviti sukarelawan yang dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu Sanggar Terapi, Sanggar Bakti dan Sanggar Ilmu.

Dalam Sanggar Terapi, sesi kaunseling kelompok telah dijalankan bersama pesakit dan staf hospital dengan bimbingan kaunselor profesional Hospital Port Dickson. Aktiviti ini bertujuan memberi sokongan moral dan emosi kepada mereka yang terkesan, di samping mewujudkan ruang komunikasi dua hala yang terbuka dan menyentuh hati. Para pelajar turut didedahkan kepada kemahiran mengurus emosi serta membina hubungan positif dalam suasana yang mencabar.

Sementara itu, Sanggar Bakti menyaksikan para mahasiswa berganding bahu bersama staf hospital dalam aktiviti mengecat kemudahan di bahagian luar bangunan hospital. Aktiviti ini bukan sahaja menceriakan persekitaran, malah mencerminkan semangat kerjasama dan keprihatinan terhadap penjagaan persekitaran hospital. Sanggar Ilmu pula memberi tumpuan kepada kanak-kanak di wad pediatrik. Para pelajar menjalankan aktiviti seperti mewarna, melipat origami, serta sesi demonstrasi sains yang dikendalikan oleh FaSTLab USIM. Aktiviti interaktif ini bukan sahaja menyeronokkan malah menjadi ruang pembelajaran tidak formal kepada kanak-kanak yang terpaksa menjalani rawatan jangka panjang. Mereka dilihat gembira dan aktif menyertai setiap aktiviti, sekali gus melupakan kesakitan yang dialami, walaupun hanya untuk seketika.

Menurut Pengarah Program, Nur Ariesya Sofea binti Syukri, penganjuran program ini adalah sejajar dengan aspirasi USIM dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik malah peka terhadap keperluan masyarakat. “Kami berharap melalui program ini, nilai empati dan tanggungjawab sosial akan terpupuk kukuh dalam diri mahasiswa,” katanya.

Setelah selesai menjalankan semua aktiviti utama, para peserta mengambil peluang beramah mesra bersama pesakit dan staf hospital sebagai penutup yang santai dan bermakna. Suasana mesra dan penuh empati dapat dirasai apabila pelajar meluangkan masa mendengar luahan serta berkongsi kata-kata semangat. Program diakhiri dengan sesi fotografi sebagai kenangan bersama pihak hospital, sebelum peserta bersurai dan bertolak pulang ke USIM dengan hati yang penuh rasa syukur dan pengalaman yang tidak ternilai.

Encik Amirul, salah seorang wakil staf hospital, menyatakan bahawa kehadiran mahasiswa bukan sahaja menceriakan suasana hospital, malah memberikan suntikan semangat kepada pesakit dan staf. “Kadangkala kehadiran anak muda yang membawa keceriaan ini lebih berharga daripada ubat-ubatan,” ujarnya.

Dengan pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek fizikal, emosi dan pendidikan, Jaulah Sukarelawan Siswa Madani 2025: Sentuhan Kasih Port Dickson membuktikan bahawa mahasiswa mampu menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Program ini diharap menjadi inspirasi kepada institusi lain untuk terus mendekatkan jurang antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat.

 

Oleh: Muhammad Amar Faeez  Ahmad