NILAI, 26 September 2019 – Dalam usaha mencari solusi terbaik dalam penyelesaian kes-kes hadhanah di Mahkamah Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menganjurkan MUQARRAR 2019.
Seminar Kebangsaan Solusi Hadhanah Mahkamah Syariah (MUQARRAR) 2019 yang dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) berkata pembentangan kertas kerja yang diberntangkan sedikit sebanyak bakal menyumbang input kepada kerajaan bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan tuntutan hadhanah dan penguatkuasaannya.
“Hadhanah atau hak penjagaan adalah antara isu kritikal dalam kes membabitkan masalah rumah tangga dan penceraian,” ucapnya.
Pembentangan kertas kerja adalah merangkumi isu-isu dan konflik hadhanah menurut perspektif peguam Syarie, penyelesaian kes-kes jagaan anak di mahkamah sivil, hadhanah menurut perspektif udang-undang Syariah, solusi hadhanah di negara-negara antarabangsa dan solusi Rasulullah SAW dan para sahabat terhadap pertikaian hadhanah.
”Sebagai penganjur, kita mengharapkan program ini menjadi titik permulaan dalam usaha mencadangkan solusi terbaik penyelesaian isu-isu hadhanah kepada pihak Kerajaan dan kepada pihak Mahkamah Syariah seluruh negara,” ujar Tn Hj. Musa Awang, Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
“Adalah diharapkan agar seminar ini dapat membuka mata semua pihak mengenai kepentingan sistem undang-undang substantif dan prosedural yang memperhalusi isu hak penjagaan anak dan kesannya terhadap masyarakat secara umumnya,” tambahnya lagi.
Tambahnya, program ini juga dihasratkan menjadi suatu medium kepada masyarakat awam yang menghadapi tuntutan dan konflik hadhanah untuk mendengar dan terlibat sendiri dalam melontar pandangan berkenaan solusi masalah yang dihadapi semasa perjalanan tuntutan hadhanah dan setelah perintah hadhanah dikeluarkan oleh mahkamah.
MUQARRAR yang berlangsung sehari menghimpunkan pembentang dan penulis kertas kerja iaitu Tuan Musa Awang, Presiden PGSM; Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh; Pensyarah Kanan FSU di USIM; Dr. Hendun Abdul Rahman Shah, Pensyarah Kanan FSU di USIM, Tuan Mawardi Che Man Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM); Prof Dato’ Noor Aziah Hj Mohd Awal, Pensyarah Fakulti Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Najibah Md Zin, Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pengucap tama oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Lihat foto menarik lain di pautan di bawah :
https://www.facebook.com/pg/USIM.eGallery/photos/?tab=album&album_id=995997700744505&ref=page_internal