NILAI — Program Diploma Lepasan Ijazah Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus menonjol sebagai platform lahirnya graduan berjiwa kental, apabila dua graduan pada majlis konvokesyen kali ini tampil dengan kisah perjuangan yang yang benar-benar menguji kekuatan diri.

Bagi Muhammad Faruq Muhammad Idris, 29, kejayaan menggenggam skrol DIJAP bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi simbol kekuatan menghadapi pelbagai ujian hidup. Anak kelahiran Kuala Lumpur yang kini menetap di Ipoh, melalui laluan pendidikan agama sejak sekolah menengah, termasuk pengajian Tahfiz di Darul Quran sebelum menamatkan Ijazah Sarjana Muda di Jordan.

Namun cabaran sebenar bermula sebaik menyambung DIJAP apabila beliau perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai suami, bapa, anak dan pelajar, selain berdepan kekangan kewangan yang kritikal.

Untuk menampung kehidupan dan yuran pengajian, Faruq bekerja serentak sebagai Pensyarah Tasmik sambilan di UNITEN, imam dan tenaga pengajar Bahasa Arab. Keadaan bertambah getir apabila ibunya diserang strok, manakala isterinya pula baru melahirkan cahaya mata mereka.

“Ketika itu saya perlu jaga ibu, urus bayi baru lahir, bekerja dan pada masa yang sama menyiapkan tugasan pengajian,” jelasnya.

“Belajar tiada had masa. Masalah bukan alasan untuk berhenti.” Faruq kini bersedia memulakan latihan dalam kamar (chambering) sebagai langkah ke arah menjadi Peguam Syarie bertauliah.

Sementara itu, di Sabah pula, kisah Mohd Mirza Nazhan Mohd Usal, 25, membuktikan bahawa komitmen bekerja sepenuh masa tidak menghalangnya daripada menyelesaikan pengajian dengan cemerlang. Anak jati Lahad Datu ini mengikuti DIJAP Pesisir Sabah, inisiatif USIM untuk memberi peluang pendidikan syarie kepada profesional di Timur Malaysia.

Sejak semester pertama, Mirza bekerja sepenuh masa sebagai Pegawai Pembimbing Umrah (Mutawif) di Andalusia Travel & Tours. Jadual mingguannya padat kerana setiap Sabtu beliau perlu menyampaikan kursus umrah, kemudian bergegas ke lapangan terbang bagi menghadiri kelas bersemuka DIJAP.

Selain itu, tugas mutawif yang menuntut beliau berulang-alik ke Tanah Suci pada bila-bila masa menjadikan perancangannya lebih mencabar. Namun pengalaman mengurus jemaah, komunikasi dengan pelbagai peringkat umur dan pematuhan SOP ketat banyak membentuk disiplin diri serta kemahiran profesional yang penting dalam kerjaya guaman syarie.

“Walaupun letih, rasa puas bila dapat bimbing jemaah terutama yang pertama kali melihat Kaabah,” katanya.
Mirza kini memasang tekad untuk berkhidmat sebagai Peguam Syarie di Biro Sokongan Keluarga (BSK) dan suatu hari nanti menjadi Hakim Syarie di Lahad Datu.

Dua kisah ini menjadi gambaran bahawa setiap graduan membawa cabaran hidup masing-masing, namun usaha gigih, sokongan keluarga dan ketabahan diri mampu membuka jalan kejayaan. Kejayaan Faruq dan Mirza bukan sahaja mengangkat semangat mereka, tetapi juga mengukuhkan matlamat USIM dalam melahirkan ilmuwan syarie yang berdedikasi dan berdaya saing.

 

Oleh: Nur Fatin Atiqah Mokhtar, Siti Nur Insyiraah Sh Hussin, Siti Nurafiqah Azwan