NILAI, 31 Julai – Statistik daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan penganut Syiah di Malaysia dianggarkan antara 1000 hingga 1500 orang dan hanya sekitar 300 hingga 500 orang yang aktif menganuti ajaran tersebut. Statistik tersebut dinyatakan oleh Encik Mohd Aizam bin Masod, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Seksyen Akidah JAKIM pada Muzakarah isu semasa bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3, USIM.

Namun menurut Encik Mohd Aizam, jumlah penganut Syiah dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa berikutan kegiatan penyebaran Syiah oleh penganutnya di negara ini yang rata-ratanya berbangsa Melayu.

“Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan Islam sebagai agama utama dan dominan. Islam yang dimaksudkan hanyalah Islam yang berasaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah”, tambah En. Mohd Aizam,

Justeru itu, tegasnya penyebaran ajaran Syiah di negara ini dilihat sebagai amat membimbangkan dan perlu dibendung dengan segera.

Ajaran Syiah mula memasuki Malaysia sekitar tahun 80an selepas berlakunya revolusi Iran pada tahun 1978/79.  Pada tahun 1984, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan Al – Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia.

Namun pada tahun 1996, disebabkan oleh penularan ajaran Syiah yang semakin berleluasa di negara ini, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.

Menurut Professor Madya Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni, Ketua Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ajaran Syiah banyak membawa pandangan yang bertentangan dengan akidah umat Islam di negara ini.  Antara ajaran Syiah yang paling dominan dan diklasifikasikan sebagai ajaran sesat ialah Syiah Imamah.

“Salah satu ajaran Syiah yang paling jelas bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah mengkafirkan Khulafa’ Ar-Rasyidin khususnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab”, tambah Dr. Kamaluddin Nurdin.

Tambah Dr. Kamaluddin Nurdin, walaupun banyak usaha telah dilakukan sebelum ini oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk berbincang dengan ulama Syiah agar tidak lagi mengkafirkan sahabat Rasulullah, usaha tersebut gagal.

Muzakarah anjuran Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM bertajuk “Menangani Ajaran Syiah di Malaysia” dihadiri kira-kira 300 orang kakitangan USIM bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3. Turut hadir Dekan FKP, YBhg. Prof. Dr. Zulkiple bin Abd Ghani.

Disediakan oleh :

Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM