PERAK – Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani telah menghadiri Program Pembangunan Komuniti MADANI Pulau Pangkor yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir.

Program tersebut merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama beberapa universiti awam sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasa pembangunan komuniti setempat secara inklusif dan mampan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Kehadiran Naib Canselor USIM dalam program ini mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong agenda pembangunan masyarakat yang digerakkan di peringkat kementerian serta memperkukuh peranan institusi pengajian tinggi sebagai rakan strategik kepada komuniti dan kerajaan.

Menurut beliau, universiti bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengembangan ilmu, bahkan sebagai pemacu kesejahteraan sosial melalui penglibatan aktif dalam inisiatif pembangunan komuniti.

Program ini turut menjadi platform mempererat hubungan dan jaringan strategik antara universiti awam dalam memperluas impak sosial pendidikan tinggi ke peringkat akar umbi.