NILAI, 18 Jun – YBhg. Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail, mencipta sejarah dalam bidang pendidikan tinggi negara apabila menjadi ahli akademik pertama dari Malaysia apabila dianugerahkan Honorary Degree Doctor of Science (DSc) dari Universiti of Glasgow, Scotland.
Pengiktirafan tertinggi daripada Universiti ini disampaikan sendiri oleh Canselor University of Glasgow, Profesor Sir Kenneth Calman sempena Commemoration Day Universiti tersebut pada 12 Jun baru-baru ini. Bersama beliau menerima anugerah yang sama ialah Profesor Srinath Reddy, President Public Health Foundation, India dan Professor Mark Walport, Director Wellcome Trust, UK.
YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail menerima anugerah ini di atas pencapaian cemerlang beliau sebagai seorang saintis dan sumbangan beliau kepada masyarakat melalui kepakaran yang dimiliki dalam bidang mikrobiologi dan bioteknologi perubatan.
Anak kelahiran Jitra, Kedah ini adalah lulusan dengan distinction Biologi, Universiti Nevada, Ijazah Sarjana dalam bidang Mikrobiologi, Universiti Indiana dan memperoleh PhD di Universiti Nevada dalam bidang Biologi Selular dan Molekul pada tahun 1986.
Semasa beliau menjadi Pengarah di Institute for Research in Molecular Medicine (INFORMM), Universiti Sains Malaysia (USM), dedikasi dan komitmen beliau bersama rakan penyelidik lain telah berjaya menghasilkan beberapa kit diagnostik bagi menyelesaikan masalah berkaitan jangkitan dan penyakit tropika dengan kos yang rendah.
Salah satu darinya adalah penghasilan kit yang dikenali sebagai TYPHIDOT bagi mengesan demam kapialu telah dipasarkan dengan meluas ke 18 buah negara terutamanya negara miskin dan negara membangun. Kit ini memberi kesan yang besar kepada bidang sains, industri dan masyarakat dunia kerana bukan sahaja dapat membantu lebih daripada 2 juta masyarakat di seluruh dunia dalam aspek penjagaan kesihatan, malah membuka lebih dari 500 peluang pekerjaan dengan penjanaan ekonomi pasaran melebihi USD 5 juta walaupun dijual pada harga yang murah.
Selain itu, beliau juga diberi kepercayaan untuk menganggotai pelbagai pertubuhan di peringkat nasional dan dunia, antaranya sebagai Penasihat di WHO untuk vaksin dan penyakit berjangkit sejak 2002, ahli Third World Academy of Sciences (TWAS), dan memecah tradisi sebagai wanita pertama dilantik ke jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di USM (2008-2012), Timbalan Presiden di Akademi Sains Negara (2012-2014) dan Naib Canselor di USIM (2012-2015).
Pelbagai anugerah dan pengiktirafan telah diterimanya atas kesarjanaan dan sumbangan tinggi yang beliau berikan. Malahan, beliau boleh disifatkan sebagai ikon wanita dan menjadi contoh ikutan terbaik kepada generasi muda kini kerana berjaya mempromosikan peranan rakyat Malaysia di dalam perkembangan sains dan pendidikan tinggi di seluruh dunia dengan cemerlang.
Disediakan oleh :
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)