Seremban, 16 April 2011 – Universiti Sains Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menganjurkan program One Day Community Care bertempat di Taman Sinar Harapan Tuanku Najihah Seremban, Negeri Sembilan. Program ini merupakan satu tanggungjawab sosial atau Corporate Services Responsibility bagi USIM dalam melestarikan nilai-nilai murni dan perasaan keprihatinan  yang tinggi di kalangan pelajar USIM terutamanya terhadap insan istimewa yang kurang keupayaan diri seperti OKU.  Program ini adalah salah satu program yang disusun dalam kalendar seni budaya oleh Unit Kebudayaan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia dengan melibatkan Urus Setia Kesenian Pelajar sebagai peserta program One Day Community Care.

Idea melaksanakan program ini lahir kerana masyarakat kita hari ini seolah-olah semakin lupa akan tanggunjawab sosial yang sepatutnya dipikul bersama dalam memastikan perancangan kerajaan ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, tercapai. Menurut Encik Ismail Ahmed, Pegawai Kebudayaan USIM, soal kebajikan dan kurangnya keprihatinan masyarakat antara satu sama lain seperti menjadi budaya semasa sehingga situasi ini juga berlaku dalam kehidupan seharian dalam sesebuah keluarga.  Gejala negatif ini akhirnya memperlihatkan kesan dan tempias kesibukan tersebut dalam arus kemodenan dengan pelbagai isu sosial yang semakin ketara. Antara isu yang sering hangat diperkatakan ialah isu pembuangan bayi dan juga kes penderaan kanak-kanak antaranya OKU. Apa yang paling menyedihkan apabila masyarakat mula menuding jari dan meletakkan kesalahan tersebut kepada orang lain atau entiti kerajaan sedangkan masyarakat sepatutnya sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan persekitaran menjadi lebih selamat dengan saling tegur-menegur, nasihat-menasihati dan sikap prihatin menjadi budaya yang sepatutnya kita amalkan bersama.

Justeru, penglibatan Urusetia Kesenian Pelajar USIM dalam program One Day Community Care ini diharap mampu melahirkan pelajar yang mempunyai mentaliti kelas pertama. Beliau turut menambah, “semoga pengalaman yang diperolehi berupaya menyedarkan pelajar USIM yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan, untuk terus berkhidmat kepada masyarakat apabila tamat pengajian kelak”. Program ini telah disertai oleh Urus Setia Kesenian Pelajar USIM seramai 50 orang pelajar USIM dan seramai 37 anak-anak istimewa dari Taman Sinar Harapan Tuanku Najihah.

Menurut Pengerusi Urus Setia Kesenian Pelajar USIM, Saudara Mohd Akmal Razali, program One Day Community Care mempunyai daya penarik tersendiri yang diserapkan dan terbahagi kepada tiga segmen utama iaitu One Personal Touch yang memberi peluang kepada pelajar dan mentee (OKU) bersama secara personal sepanjang sesi tersebut berlangsung. Pelajar diberi peluang membantu tugas seharian anak- anak istimewa secara individu dalam segmen ini. Segmen kedua One Pocket Motivation, pelajar memberi tumpuan dalam kelompok kecil dengan menggunakan pendekatan unik dan kreatif iaitu melalui elemen kesenian. Antaranya pelajar akan berkongsi maksud dan nilai jati diri yang terdapat dalam pengucapan selawat dan lagu patriotik. Segmen One Arts Therapy merupakan segmen paling menarik dengan manifestasi seni budaya kebangsaan dengan gagasan 1 Malaysia diterapkan kepada anak- anak istimewa tersebut.

One Day Community Care telah dirasmikan oleh Encik Nasrul Hakim Ahmad, Ketua Bahagian Hal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia. Mengulas lebih lanjut Encik Nasrul Hakim Ahmad menzahirkan kesyukuran di atas potensi yang ditunjukkan oleh pelajar USIM yang dilihat mampu menjadi pemimpin masa depan yang serba boleh dan menyumbang kepada masyarakat. Beliau turut  mengucapkan terima kasih kepada pihak Pengurusan Taman Sinar Harapan Tuanku Najihah dan khususnya kepada pengurusan tertinggi universiti kerana sentiasa memberi sokongan padu hingga mampu memotivasikan Urus Setia Kesenian Pelajar USIM mencapai kecemerlangan di pelbagai peringkat aktiviti sama ada di dalam dan di luar universiti. Kata beliau lagi “program One Day Community Care akan menjadi agenda berterusan di masa akan datang”.