NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melaksanakan Pemeriksaan Peluru dan Bahan Letupan PALAPES USIM 2026 pada 12 dan 13 Januari 2026. Pemeriksaan ini dijalankan di lokasi-lokasi penyimpanan peluru dan bahan letupan serta di Markas Kor PALAPES USIM sebagai sebahagian daripada mekanisme kawalan dan pematuhan yang ditetapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pelaksanaan pemeriksaan ini bertujuan memastikan pengurusan, pengendalian dan dokumentasi peluru serta bahan letupan dilaksanakan secara sistematik, teratur dan mematuhi sepenuhnya peraturan serta arahan sedia ada. Langkah ini penting bagi menjamin tahap keselamatan yang tinggi serta memastikan kelancaran pelaksanaan latihan ketenteraan.

Pemeriksaan telah dikendalikan oleh Tim Peluru dan Bahan Letupan yang bertauliah serta berpengalaman dalam pengurusan peluru dan bahan letupan. Kehadiran Tim Pemeriksa ini mencerminkan komitmen berterusan ATM dalam memperkukuh aspek keselamatan, pematuhan prosedur dan tadbir urus yang berintegriti.

Proses pemeriksaan dimulakan dengan pemeriksaan fizikal di gudang-gudang peluru. Fokus diberikan kepada aspek keselamatan penyimpanan, kawalan akses serta susun atur peluru dan bahan letupan. Pemeriksaan ini turut memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan.

Selain itu, prosedur penerimaan, penyimpanan dan pengeluaran peluru turut disemak secara terperinci. Setiap pergerakan peluru perlu direkodkan dengan tepat dan dikawal secara berdisiplin bagi mengelakkan sebarang ketirisan serta mengurangkan risiko keselamatan.

Pemeriksaan dokumentasi pula melibatkan semakan menyeluruh terhadap rekod penerimaan dan pengeluaran peluru, buku log serta dokumen sokongan berkaitan. Pematuhan kepada Prosedur Tetap (PROTAP) dan Standard Operating Procedure (SOP) yang digariskan oleh ATM turut diberi perhatian serius.

Pemeriksaan ini diakhiri dengan sesi exit conference yang menyaksikan Tim Pemeriksa menyampaikan dapatan, ulasan serta cadangan penambahbaikan kepada pihak PALAPES USIM. Sesi penandatanganan buku lawatan dan sesi bergambar turut diadakan sebagai penutup rasmi pemeriksaan.

Pelaksanaan pemeriksaan ini adalah selaras dengan Objektif Pertama Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat Ke-24, iaitu Kesiapsiagaan. Pengurusan peluru yang terancang, selamat dan berdisiplin merupakan elemen kritikal dalam menjamin keselamatan latihan serta meningkatkan keupayaan operasi dan kesiapsiagaan pasukan.

Selain itu, pemeriksaan ini turut mendukung Teras Keempat Amanat Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia yang menekankan amalan tadbir urus yang baik dan pematuhan kepada peraturan. Pengurusan keselamatan yang berintegriti menjadi asas penting dalam pelaksanaan latihan ketenteraan di peringkat universiti.

Secara keseluruhannya, Pemeriksaan Peluru dan Bahan Letupan PALAPES USIM 2026 telah dilaksanakan dengan lancar, teratur dan berkesan. Semua keperluan serta piawaian yang ditetapkan telah dipatuhi sepenuhnya. PALAPES USIM kekal komited untuk terus menambah baik sistem pengurusan peluru dan bahan letupan demi menjamin keselamatan latihan serta kesiapsiagaan pasukan.