NILAI, 4 Sept 2014 – Seramai 2,134 Pelajar Sarjana Muda Sesi Akademik 2014/2015 menjalani Minggu Taaruf yang bermula pada 2 September hingga 7 September 2014.  Bertempat di Dewan Besar USIM, ribuan pelajar baharu membanjiri Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sarjana Muda yang diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.


Majlis disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan selaku Menteri Mentor USIM bersama Lembaga Pengarah Universiti (LPU), YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Haji Abdul Shukor bin Haji Husin serta barisan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Univeristi (JKPU).

Bagi Sesi Akademik 2014/2015, seramai 2,488 permohonan menjadikan USIM sebagai pilihan pertama daripada 24,867 jumlah permohonan untuk mengikuti pengajian dalam 25 program pengajian peringkat Sarjana Muda.  Walaubagaimanapun USIM hanya berupaya menawarkan tempat kepada sejumlah 2,493 pemohon sahaja dan pada pada 1 September 2014 seramai 614 pelajar lelaki diikuti 1,520 pelajar perempuan yang telah mendaftar secara rasminya.

Daripada catatan berikut, pecahan pelajar tertinggi yang mendaftar mengikut fakulti adalah Fakulti Quran dan Sunnah seramai 462 diikuti Fakulti Sains dan Teknologi seramai 444, Fakulti Ekonomi dan Muamalat seramai 353, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan seramai 318, Fakulti Syariah dan Undang-undang seramai 275, Fakulti Pengajian Bahasa Utama seramai 171, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan seramai 77 dan pendaftaran terendah di Fakulti Pergigian iaitu seramai 34 orang.

Daripada jumlah tersebut, pecahan kelompok pelajar yang mendaftar mengikut negeri juga dapat dilihat dengan Kelantan paling ramai iaitu 476 orang diikuti Selangor seramai 428, Kedah seramai 226, Johor 192, Pahang seramai 173, Perak seramai 156, Terengganu seramai 171, Melaka seramai 77, Negeri Sembilan seramai 67, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang seramai 51, Sabah seramai 32, Perlis seramai 14, Sarawak seramai 11 dan Putrajaya seramai 9.

“Ilmu yang digali daripada Quran dan Sunnah apabila digabung dengan ilmu dan teknologi terkini akan membuahkan penemuan baru dan inovasi yang relevan kepada masyarakat, negara dan ummah. Dengan ini, universiti akan menjadi nadi pada pembangunan masyarakat setempat ataupun kepada manusia sejagat dan kita akan sentiasa di dalam doa mereka kerana kita sudah menempa tempat yang istimewa di hati dan minda masyarakat,” ucap YBhg Prof Dato Dr Musa, Naib Canselor USIM dalam ucapannya.

Beliau turut berkongsi sebanyak 15 aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) yang telah dijalankan sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2014. USIM turut menyasarkan untuk mengadakan aktiviti tnaggungjawab sosial di semua 62 mukim di Negeri Sembilan serta memanfaatkan sepenuhnya klinik pakar bergerak sumbangan Kerajaan Negeri Sembilan untuk program khidmat masyarakat bersama masyarakat orang asli, anak-anak yatim dan kawasan perumahan di pinggir bandar.

Tambahnya, beliau berharap agar pelajar menggunakan peluang pendidikan dan kemudahan ilmu yang tersedia ke arah kebaikan disamping bersedia mempelajari sebanyak mungkin ilmu sepanjang berada di USIM dengan tidak menghadkan penguasaan ilmu di dalam kelas semata-mata.

Turut diadakan selepas majlis amanat adalah perjumpaan 67 orang anak-anak Negeri Sembilan dengan Menteri Mentor USIM yang diberi kata-kata perangsang dan saguhati wang tunai sebagai bantuan dan pemangkin semangat kepada anak-anak Negeri Sembilan.

 Disediakan oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204