NILAI, 17 Februari 2021 – Seramai 122 pelajar baharu Asas 1 (Tingkatan 1) kohort 7 bagi sesi kemasukan akademik 2021 Kolej Genius Insan (KGI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) adalah Kumpulan Pertama yang akan menduduki Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dalam tempoh empat tahun. Ini sekaligus melayakkan mereka untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 16 tahun, selaras dengan kebenaran yang telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Manakala seramai 14 pelajar Tahap 1 (Tingkatan 4) telah melayakkan diri untuk menyambung pembelajaran menengah di KGI. Mereka adalah daripada 316 calon Asas 1 (Tingkatan 1), dan 44 calonTahap 1 (Tingkatan 4) yang telah berjaya melepasi ujian kecerdasan kepintaran UKM1 dan UKM2.

Sesi pendaftaran dan taklimat berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting pada hari ini.

Pengarah KGI Dr Hayati Ismail berkata, Kurikulum di KGI telah disusun semula untuk membolehkan murid Asas 1 belajar dalam satu continuum, bermula dengan topik Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dalam masa empat tahun. Sememangnya anak-anak Genius Insan berkemampuan untuk menduduki SPM pada usia 16 tahun kerana mereka mempunyai kebolehan kognitif yang tinggi iaitu IQ 130 dan ke atas”.

Tambah beliau lagi, pihak KGI amat mendokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk membangunkan murid yang holistik dan seimbang, justeru KGI sentiasa memberikan sokongan dari segi emosi, rohani dan jasmani menerusi komponen pengayaan, Ulumuddin dan kokurikulum.  Murid KGI beruntung kerana berada di sekolah dalam universiti, kerana sumber yang ada dapat dimanfaatkan dari segi kepakaran tokoh-tokoh akademik dalam pelbagai bidang dan infrastruktur pengajian tinggi bertaraf dunia.  Harapan kami agar pihak KGI, ibu bapa, universiti, komuniti dan sektor swasta dapat menjalinkan kerjasama yang mantap sebagai quintuple helix dalam usaha membangunkan teknokrat dan ilmuan Islam, selaras dengan slogan KGI iaitu Menjana Cendekiawan Islam.

“Buat masa ini, murid akan memanfaatkan waktu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan oleh KPM kelak”, ujarnya.

Manakala Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin Naib Canselor USIM dalam ucapannya berkata, pelajar yang mendaftar pada hari ini akan menyambung dan menghayati perjuangan dalam memartabatkan integrasi Ilmu Naqli dan Aqli di KGI, selaras dengan hasrat pelaksanaan pendidikan yang kita jalankan di USIM sendiri. Mereka akan mengenali dan merasai dengan lebih dekat di hati dengan apa yang kita cernakan dalam pendidikan pintar berbakat integrasi ilmu Naqli dan Aqli.

“Sesuai dengan hasrat dan matlamat penubuhan KGI untuk menjana cendekiawan Islam yang bersandarkan kepada integrasi ilmu Naqli dan Aqli, kita sentiasa memperhalusi pelaksanaan sistem pendidikan di kolej ini. Penambahbaikan merupakan usaha berterusan yang dijalankan agar sistem yang ada akan lebih kemas dan mantap. Saya yakin semua ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka dan KGI sudah pun menyediakan program jangka masa pendek dan panjang bagi merealisasikan impian dan matlamat menjana cendekiawan Islam yang dilafazkan”.

Dato Ridza berkata lagi, konsep ilmu yang diketengahkan di USIM dan KGI meletakkan kesepaduan semua jenis ilmu moden dan berteraskan Islam sebagai satu gabungan ilmu tanpa memisahkan mereka berdasarkan kategori ilmu yang wujud pada hari ini.

“Dengan cabaran tersebut, KGI mengamalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza serta kurikulum yang dipadat, diperkaya dan dipacu mampu memenuhi keperluan murid pintar dan berbakat. Dengan kurikulum yang jauh kehadapan bagi memenuhi keperluan kognitif mereka, murid di KGI digilap dan dibangun dengan kemampuan memahami pelbagai subjek STREAM, Ulumuddin, bahasa antarabangsa, pembangunan diri dan pengayaan seperti penyelidikan seperti mana yang dilakukan oleh abang-abang mereka di peringkat ijazah sarjana muda di universiti”, ujarnya.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan