Jika sebelum ini golongan cacat penglihatan hanya mempunyai bahan bacaan yang terhad, kini mereka dapat mempelbagaikan bahan bacaan mereka terutamanya dalam mempelajari buku-buku berasaskan pendidikan Islam.

Atas dasar keprihatinan dan rasa tanggungjawab, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengorak langkah dengan mengambil inisiatif menawarkan subjek Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah yang dikendalikan oleh Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS).

Menurut Puan Noor Najihan Jaafar, Pensyarah FPQS, subjek Aplikasi Braille Dalam Pengajian Quran dan Sunnah ditawarkan kepada semua pelajar USIM yang mengambil  kursus Pengajian Al-Quran dan Sunnah dan merupakan subjek wajib fakulti dengan 3 jam kredit selama satu semester.

Manakala tenaga pengajar subjek Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah terdiri daripada mereka yang terlatih dan pakar dalam Al-Quran Braille serta mendapat latihan khas yang dikendalikan oleh Peratuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

Mengulas cabaran mengajar subjek braille kepada pelajar-pelajar USIM, Puan Noor Najihan berkata, untuk permulaan, para pelajar diperkenalkan dengan perkara asas braille seperti sejarah braille, cara mengendali kertas dan mesin braille serta lain-lain perkara asas. Kemudian barulah mereka diperkenalkan dengan asas huruf braille dalam bahasa melayu, inggeris dan jawi.

“Pada mulanya, memang agak sukar mengajar pelajar-pelajar USIM dalam subjek braille kerana mereka tiada pendedahan langsung mengenai subjek braille  sebelum ini. Tetapi disebabkan tertarik dan berminat untuk mempelajari sesuatu yang baru, mereka gigih dan belajar bersungguh-sungguh sehingga mampu menaip huruf braille tanpa melihat nota braille atau dikenali dengan istilah sifir”.

“Penting sekali pelajar menghafal kod braille untuk memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran. Sekiranya mereka mampu menghafal kod braille, maka mudah bagi mereka untuk membaca dan membuat transkripsi braille”, tambah beliau lagi.

Menurut beliau lagi, dengan adanya subjek Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah di USIM, secara tidak langsung dapat membantu mereka yang cacat penglihatan mendapat pembelajaran yang sama seperti masyarakat normal yang lain.

Kesungguhan pelajar-pelajar USIM membantu golongan cacat penglihatan dalam pembelajaran dapat dilihat melalui projek ilmiah mereka dimana mereka membuat transkripsi atau menterjemah Buku Sukatan Pelajar Sekolah Rendah Iqra’ Jilid 1 hingga 6 ke dalam tulisan braille. Mereka mengambil masa lebih kurang 4 bulan untuk menterjemah buku Iqra’ Jilid 1 hingga 6 secara berkumpulan. Manakala untuk proses mengedit dan mencetak dikendalikan oleh PERTIS.

“Untuk jangkamasa panjang, saya melihat USIM mempunyai potensi yang besar dalam menerajui penerbitan braille dalam bahasa arab memandangkan di negara ini tidak banyak penerbit buku yang berkebolehan dalam mengedit dan mencetak braille dalam bahasa arab”.

“Apabila pembelajaran dan pengajaran subjel Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah di USIM telah mantap dari segi asasnya, mungkin boleh difikirkan untuk melangkah dengan lebih jauh lagi seperti mengadakan kerjasama dengan PERTIS dan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) dari segi percetakan dan penerbitan serta perisian untuk  Duxbury Translator in Arabic bagi kemudahan untuk golongan cacat penglihatan dan juga sukarelawan golongan cacat penglihatan”, tambah beliau lagi.

Norhidayah Zainal Abidin, pelajar program Pengajian Quran Dengan Multimedia  berkata, pertama kali mempelajari Al-Quran braille merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Memang agak sukar pada mulanya untuk belajar dalam Al-Quran braille dan ianya mengambil masa memandangkan sebelum ini saya langsung tiada pendedahan dalam perkara ini. Tetapi Alhamdulillah, hampir 4 bulan belajar, saya mampu menguasai subjek ini dengan bantuan pensyarah-pensyarah FPQS USIM”, katanya lagi.

Beliau juga ingin mendaftarkan diri menjadi ahli PERTIS sebagai sukarelawan bagi membantu golongan cacat penglihatan dalam pelbagai sudut seperti pembelajaran, bantuan tenaga dan lain-lain.

Manakala Siti Mariam Abdullah, pelajar program Pengajian Quran Dengan Multimedia berkata beliau seronok dan teruja untuk mempelajari subjek Al-Quran braille.

“Saya sangat seronok apabila dapat mempelajari sesuatu yang baru. Apa yang penting adalah menghafal  dan mengingat kod braille. Jika diizinkan, saya ingin sekali membuat kajian tentang braille pendidikan Islam di Malaysia”.

Di masa hadapan, mereka turut merancang untuk membuat transkripsi buku teks Pendidikan Islam Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah, Buku Panduan Haji, Buku Tajwid dan Buku Berzanji secara sukarela.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028