PUTRAJAYA – Jalinan kerjasama yang telah dirintis oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Institut Studi Islam Darul Salam (ISID) Gontor, Indonesia oleh Pengurusan Tertinggi kedua-dua pihak telah memperlihatkan pelbagai bentuk kerjasama telah dilaksanakan secara berkesan oleh kedua-dua institusi serumpun ini.
Buat julung-julung kalinya, seramai 30 orang mahasiswi ISID Gontor telah menyertai Leadership Seminar For Students Mobility Programme of ISID to USIM baru-baru ini. Para mahasiswi ini yang turut diiringi oleh YBhg. Dr. Syamsul Hadi Untung, Ketua Program Jabatan Usuludin ISID bersama beberapa guru pengiring yang lain telah berkampung selama seminggu di USIM bagi menjayakan seminar ini.
Program yang disertai ini adalah salah satu bentuk program Mobility Inbound yang dilaksanakan oleh USIM melibatkan rakan strategik luar negaranya. Sepanjang seminar ini juga telah diaturkan pelbagai program sampingan kepada para pelajar yang dikendalikan secara bersama oleh Pejabat Naib Canselor, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Pejabat Perhubungan Antarabangsa dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
“Perlaksanaan program seperti ini amat baik dan memberi manfaat yang cukup besar kepada USIM dan ISID. Saya dimaklumkan, kumpulan kedua pelajar USIM juga telah berada di ISID kini bagi menjalani latihan industri selama dua (2) bulan di sana. Dalam konteks Islam sendiri, menjalin dan memperkukuhkan tali silaturrahim itu amat dipandang mulia” kata YB Dato’ Seri Dr. Abdullah Md Zin, Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri Malaysia dalam ucapannya semasa menerima kunjungan muhibah para peserta ke pejabat beliau di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
“Melalui Seminar SEIPTI yang saya hadiri sebelum ini, telah memperlihatkan akan hubungan akrab institusi serumpun ini iaitu USIM, ISID dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam yang telah sepakat untuk bersama-sama mengerakkan penubuhan konsortium pengajian tinggi Islam diperingkat ASEAN” katanya lagi.
Penerimaan kunjungan ini adalah tanda bahawa beliau amat meraikan program yang dikelolakan oleh USIM. Malah dalam sesi kunjungan ini juga, YB Dato’ Seri sendiri berbesar hati menyampaikan taklimat kepada para peserta mengenai Sistem Pentadbiran Hal Ehwal Islam di Malaysia dan bersoal-jawab bersama mereka selepas itu.
Sementara itu, dalam pengisian program yang lain para pelajar turut di bawa mendekati kebudayaan Malaysia dengan melawat Bandaraya Melaka dan mendengar taklimat oleh Kakitangan Pentadbiran Masjid Tuanku Sultan Zainal Abidin, Putrajaya ketika lawatan ke sana. Malah, kumpulan dari ISID ini juga bertuah kerana turut diraikan oleh Pengurusan Universiti melalui Jamuan Resepsi di Galeri Bangunan Canselori.
Disediakan oleh :
Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar
Pusat Komunikasi Strategik