NILAI, 6 Mei 2014 – Seramai 91 mahasiswa Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat (SPM) Tahun 3 Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM telah mengadakan Lawatan Akademik dan Khidmat Masyarakat ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma (SKPK Alma) yang bertempat di Bukit Mertajam Pulau Pinang baru-baru ini.

Kecacatan fizikal bukan halangan untuk seseorang meraih kejayaan dalam kehidupan selagi dia berusaha keras untuk mendapatkannya. Itulah kenyataan yang sesuai untuk menggambarkan seseorang yang kurang bernasib baik seperti golongan cacat penglihatan.

Objektif utama adalah untuk melaksanakan misi dan tanggungjawab sebagai mahasiswa USIM yang prihatin serta menimba pengalaman di sekolah tersebut serta untuk mendekati pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik ini selari dengan pengkhususan peserta dalam bidang Sunnah dengan Pengurusan Maklumat yang mengambil matapelajaran Aplikasi Braille Dalam Pengajian Al-Quran dan Sunnah. Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Reset Minda, gotong-royong, Klinik Al-Quran dan Motivasi yang disertai oleh pelajar-pelajar SKPK Alma bersama mahasiswa SPM.

Pengarah program saudara Muhammad Nur Hidayat bin Musa melahirkan rasa bangga dan teruja dengan kejayaan yang telah pihak SKPK Alma peroleh kerana selain daripada anugerah sekolah kluster terbaik,  sekolah berkenaan juga telah melahirkan beberapa pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum walaupun mereka cacat penglihatan. “Antara anugerah yang pernah diraih oleh pihak sekolah adalah anugerah kualiti YAB Menteri Pelajaran (naib Johan) tahun 1999, 2005 dan 2006. Selain itu, Anugerah berdasarkan peningkatan UPSR melebihi 10% PPD Utara pada tahun 2005 serta yang terkini Anugerah 5 bintang Smart School Qualification Standard (SSQS) 2011”, jelas beliau.

Guru Besar SKPK Alma, Encik Hassan Basri berkata, bukan kecemerlangan semata-mata yang ingin dicapai akan tetapi adalah lebih penting dalam melaksanakan misi pihak sekolah untuk membantu mendidik  pelajar yang kelainan upaya ini supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran serta berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sebaris dengan pelajar normal yang lain diluar sana. Malahan sukatan pelajaran mereka juga adalah sama seperti pelajar normal yang lain.

“Kebanyakan alatan mengajar dibuat sendiri seperti sistem komputer diubahsuai untuk kemudahan pelajar antaranya menggunakan Braille typer dan perisian Jaws iaitu perisian bersuara yang membantu pelajar mengendalikan komputer. Pelbagai program telah diadakan oleh sekolah yang dilihat telah berjaya membantu dalam sistem pengajaran Quran Braille kepada para pelajar. Antaranya ialah, program menghafaz Al-Quran yang mana merupakan antara program terbesar yang diadakan oleh pihak sekolah dan pelajar yang terlibat dalam program ini antara pelajar yang telah mahir dalam mengaji Al-Quran”,tambahnya lagi.

Peserta turut diperdengarkan bacaan surah hafazan oleh adik Mohd. Adam Husaini dan bacaan Al-Quran menggunakan Al-Quran braille oleh adik Mustakim.

Disediakan oleh:

Huda Wagiran

Pelajar Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat (SPM)

Tahun 3 Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik