NILAI, 10 Disember 2021 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatatkan sebanyak 89.54 peratus turun mengundi pada Pilihanraya Kampus Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM untuk Sesi 2021/2022 yang berakhir malam tadi. Proses pengundian yang dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menghampiri sasaran peratusan turun mengundi yang telah ditetapkan iaitu pada 90 peratus.
Dalam pemilihan tersebut dua calon mencatatkan undian tertinggi iaitu Saudari Nurul ‘Aina Sofea Mohd Kamal yang bertanding untuk Kerusi Umum, yang merupakan pelajar tahun 3 Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dengan catatan undi sebanyak 9,244 undi serta seorang lagi calon Kerusi Umum, Saudari Nur Alya Abdul Latif pelajar tahun 3 dari Fakulti Sains dan Teknologi dengan 9,109 undian.
Pengumuman keputusan rasmi tersebut dibuat oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin yang turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua yang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Saya berharap calon-calon yang telah dipilih dapat melaksanakan mandat yang diberikan dengan amanah dan dapat berganding bahu dengan Pengurusan Universiti untuk membawa nama USIM ke peringkat yang lebih jauh dalam memastikan agenda universiti berjalan lancar” ujarnya.
Calon yang memenangi undian tertinggi, Nurul ‘Aina ketika ditemui berkata, beliau menyifatkan status undian tertinggi yang diperoleh beliau merupakan satu keputusan yang tidak dijangka dan berharap semua calon-calon lain yang telah terpilih dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik kerana ini adalah majoriti suara pelajar.
Dalam pemilihan tersebut, tiga fakulti mencatatkan peratusan mengundi tertinggi iaitu Fakulti Pergigian (100%), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dengan (98.87%) dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dengan 87.94%.
Seramai 10,064 orang pelajar daripada 11,240 orang pelajar layak mengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi bermula pada pukul 9.00 pagi sehingga 6.00 petang sepenuhnya secara dalam talian menerusi platform eUNDI. 10 calon bertanding bagi mengisi kuota sembilan Kerusi Umum manakala 28 calon bertanding bagi mengisi 18 kuota di Kerusi Fakulti.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan