Nilai, 22 – 25 November 2009 – Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Konvensyen Pendakwah Muda Malaysia Peringkat Nasional (WEHDAH ‘09). Program ini telah mendapat kerjasama serta sumbangan kewangan daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Seramai 639 peserta dari pelbagai Institusi Pengajian Awam dan Swasta di Malaysia menyertai konvensyen ini. Antaranya adalah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussien Onn (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universti Teknikal Melaka (UTEM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Pelbagai Pengisian telah dijalankan seperti Wacana, bengkel, sesi forum, sesi ESQ 165 dan sebagainya. Sesi Wacana dan forum menampilkan penceramah yang hebat dan berpengalaman seperti Dato’ Hj. Nakhaie Ahmad, Ustaz Kalam Mazad, Ustaz Shah Kirit Kalkul Govindji dan lain-lain.

Konvensyen Pendakwah Muda Peringkat Kebangsaan 2009 yang bertemakan ‘Generasi Muda Menjana Transformasi Ummah’ bertujuan menyatukan generasi muda Islam dan mengumpulkan idea-idea yang bernas dalam menentukan hala tuju dan peranan golongan generasi muda yang sebenar dalam masyarakat masakini. Di samping itu memberikan gambaran dan maklumat sebenar berkaitan isu, cabaran dan realiti sebenar keadaan masyarakatserta hubungkait dengan keperluan untuk berdakwah terutama kepada golongan generasi muda.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah INFAD, Prof. Dr. Mohammad Haji Alias. Dalam ucapannya beliau berharap agar program dakwah seperti ini seharusnya diberi perhatian dan penekanan oleh semua mahasiswa sebagai satu program penting dengan formulasi baru dalam aktiviti dakwah.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028