NILAI, 19 Jun – Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) mengambil pendekatan proaktif mendekatkan segenap lapisan masyarakat  mengenai kefahaman wasatiyyah yang sebenarnya sejajar dengan iltizam YAB Dato’ Seri Najib Tun Hj. Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang mengetengahkan pendekatan ini dalam mengemudi ummah dan negara bagi menghadapi cabaran pada masa depan.

Justeru itu, IWM telah mengambil inisiatif untuk menggerakkan pendekatan wasatiyyah diperingkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pula dengan kumpulan fokus utama adalah kelompak mahasiswa. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut bersama dengan aspirasi IWM dan YAB Perdana Menteri apabila melancarkan Pendekatan Wastiyyah Peringkat USIM yang disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin, Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri merangkap Pengerusi IWM.

Dalam ucapannya, Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin turut mempelawa kerjasama kepakaran ahli akdemik USIM untuk membantu IWM membangunkan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa. Indeks ini nanti akan dijadikan kayu ukur bagi melihat perlaksanaan Maqasid Syariah oleh negara-negara Islam khususnya dalam kerangka pentadbiran mereka. Indeks ini akan dibangunkan secara bersama dengan kepakaran ahli akademik, golongan profesional, pertubuhan bukan kerajaan dan badan-badan berkepentingan untuk memastikan Indeks terbaik dihasilkan.

USIM menjadi IPT Ketiga dipilih oleh IWM untuk melancarkan Pendekatan Wasatiyyah diperingkat IPTA selepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu dan Universiti Malaya (UM).

“IWM yang ditubuhkan pada 3 Disember 2012 dan dilancarkan dengan rasmi oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Mac 2013 menyasarkan Pendekatan Wastiyyah ini akan dilancarkan disemua 20 IPTA bagi memastikan garapan pendekatan wasatiyyah ini sebagai tonggak kepada kesatuan ummah di negera ini difahami dengan baik terutamanya dalam mendepani cabaran fahaman ekstrimisme”.

Tambahnya lagi, “Universiti memainkan peranan penting dalam menjayakan Pelan Strategik Penghayatan Nilai-nilai Islam 2015-2020 yang sedang direncanakan oleh IWM kini. Dalam masa 5 tahun, nilai-nilai murni khususnya berkaitan wasatiyyah yang digariskan di dalam Pelan ini akan dilaksanakan secara menyeluruh melalui saluran-saluran yang bersesuaian”.

Antara pengisian majlis pelancaran ini adalah Seminar Pendekatan Wasatiyyah dengan ahli panel jemputan adalah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba, Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ustaz Nasharudin Mat Isa, Pengerusi Yayasan Nassar yang dikendalikan oleh Ustazah Nabilah Yusof@Abdul Rahman, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) USIM.

Turut hadir di majlis pelancaran ini adalah Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM serta menjalankan tugas Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Tuan Hj Mohd Yusof Din, Pengarah IWM.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm