Nilai, 17 MAC 2016 – Mengambil inisiatif untuk mencapai visi Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dua perjanjian kerjasama telah dimeterai antara Penerbit USIM bersama dua organisasi iaitu Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Perbadanan Kota Buku.

Ia selaras dengan visi Penerbit USIM iaitu menerajui penerbitan ilmiah berkualiti dalam integrasi ilmu Naqli dan Aqli serta pelbagai bidang ilmu yang lain untuk mentransformasikan dan menghasilkan nilai untuk negara, ummah dan manusia sejagat.

Antara intipati perjanjian kerjasama dengan ITBM adalah Projek Kerjasama Terjemahan & Penerbitan Koleksi Buku Ilmiah Pendidikan Tinggi dalam Bidang Perubatan & Kejururawatan yang akan digerakkan menerusi dana yang telah disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebanyak RM500,000.

“Perjanjian ini meliputi kerjasama penterjemahan dan penerbitan beberapa judul buku yang telah dipersetujui. Antara judul yang adalah Reflections of An English Muslim dan buku terjemahan berjudul Nurturing A Balanced Person The Leadership Challenge. Melalui kerjasama ini, Penerbit USIM melihat pelbagai aspek termasuk pemasaran selain menyediakan bengkel serta latihan dalam bidang penerbitan dan terjemahan,” ujar Ketua Penerbit USIM, Pn Hariza.

Perjanjian dengan Perbadanan Kota Buku pula terarah kepada kerjasama penerbitan buku secara digital iaitu e-book dalam pelbagai bidang. Menerusi perjanjian tersebut, Penerbit USIM telah bersetuju menerbitkan dan menukar sebanyak 22 judul buku bercetak ke dalam bentuk e-book menerusi perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perbadanan Kota Buku.

“Inisiatif ini dilihat mampu merealisasikan hasrat untuk menjadikan USIM sebagai pusat rujukan serantau dalam integrasi ilmu Naqli dan Aqli pada tahun 2016. Apa yang diharapkan adalah kerjasama dapat meningkatkan kelestarian penerbitan dalam menghasilkan lebih banyak lagi karya berkualiti dan mampu dijadikan rujukan sama ada di dalam atau luar negara,” ucap Dato’ Musa Ahmad.

Majlis yang berlangsung di ruang Galeri USIM telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad yang mewakili USIM manakala dua organisasi lain masing-masing diwakili oleh Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM dan Encik Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204