NILAI, 29 APRIL 2015 – Pendebat Bahasa Arab dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaya (UM) mengharumkan nama Malaysia apabila tersenarai sebagai tiga pendebat terbaik keseluruhan di International Arabic Debating Championship (IUADC) yang berlangsung di Qatar baru-baru ini.

Mereka dipilih dalam kategori pendebat bukan penutur asli bahasa Arab yang menyertai kejohanan ini. Pendebat UM, Azwan Kamarudin, 25 pelajar jurusan Linguistik Bahasa Arab di ranking pertama dan pendebat USIM, Anis Amirah Zakaria, 22 pelajar Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang dikedudukan kedua dengan masing-masing menerima hadiah pingat oleh pihak Pengajur. Tempat ketiga disandang penuntut dari Amerika Syarikat.

Kejohanan debat bahasa Arab bertaraf antarabangsa ini berlangsung pada 26 hingga 29 April lalu bertempat di Qatar National Convention Centre.

Disertai 67 buah pasukan yang membariskan lebih 300 pendebat Universiti terpilih dari negara Arab dan bukan Arab seperti Tunisia, Sudan, Kuwait, Yaman, Morocco, Amerika Syarikat, Korea, China, German, Australia,  India,  Pakistan,  Brunei,  Malaysia,  Perancis, Poland dan German.

Anis Amirah yang merupakan pelajar Tahun 3 Fakulti Syariah dan Undang-undang ketika ditemui mengucapkan rasa syukur atas pencapaian ini.

“Ini merupakan pencapaian terbaik saya dalam kejohanan debat antarabangsa. Saya menyertai debat bahasa Arab sejak sekolah lagi ketika menuntut di Kolej Sultan Alam Shah (KISAS). Ini memberi motivasi yang tinggi kepada saya untuk terus menguasai bahasa Arab dengan lebih mendalam.”

“Peluang yang diberikan USIM untuk ke Qatar ini amat saya hargai dan berharap saya dan pasukan debat Bahasa Arab USIM diberi peluang menyertai pertandingan kompetitif sebegini di masa hadapan”. Ujarnya yang tiba ke tanah air pada semalam.

Berkongsi rahsia menguasai Bahasa Arab, beliau berkata menjadikan amalan seharian kerap membaca Al-Quran dan sentiasa meletakkan keinginan yang tinggi untuk mempelajari bahasa Arab serta mencabar diri untuk lebih baik dalam setiap pertandingan debat yang disertai.

Pertandingan dwi tahunan yang memasuki edisi ketiga sejak mula dianjurkan pada 2011 dinaungi oleh Syeikh Hind Hamad Al Thani, Timbalan Presiden Yayasan Qatar. Kejohanan Debat Qatar selamat empat hari ini bertujuan menggilap potensi peserta melalui budaya diskusi dan debat bagi membentuk masyarakat global dan melahirkan pemimpin masa hadapan.

Pencapaian pelajar USIM di Qatar ini secara tidak langsung hasil perancangan pembangunan dan kejurulatihan debat yang berjaya di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204