NILAI – Musibah banjir yang menimpa negara sejak pertengahan Disember 2014 mencatatkan jumlah mangsa banjir yang amat tinggi termasuklah beberapa kes kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda serta banyak kemudahan awam. Ia turut menjejaskan kehidupan harian mangsa banjir yang terputus bekalan api dan air, dan perlu menetap di penempatan sementara dalam tempoh masa yang lama. Bagi umat Islam, banjir turut memberi kesan kepada amalan beribadat seharian.

Kerana itu lapan orang penyelidik daripada Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif melawat ke kawasan-kawasan yang teruk dilanda banjir bagi mendapatkan maklumat mengenai isu-isu berkenaan fiqah bencana banjir terutama berkaitan ibadat solat.

Menurut ketua penyelidik Dr. Irwan bin Mohd Subri merangkap Pengarah INFAD, setakat ini masih belum ada panduan khusus berkaitan fiqah banjir di negara ini.

“Penyelidikan ini adalah usaha awal dan perintis untuk mengetahui isu-isu fiqah dan akidah yang berlaku di pusat penempatan banjir.

Panduan fiqah bencana banjir ini penting bagi mengatasi sebarang kekeliruan tentang isu-isu ibadat yang dialami oleh mangsa bencana alam seperti dalam perkara bersuci (taharah), solat, aurat, percampuran lelaki dan wanita, pengurusan jenazah, harta yang dijumpai, pelupusan ayat suci al-Quran dan banyak lagi”, tambah beliau.

Selain itu menurut Dr Irwan kajian mereka turut memfokuskan isu-isu keagamaan dari sudut akidah mangsa banjir.

“Kita juga ingin tahu sejauh manakah bencana banjir ini memberi kesan terhadap akidah mereka yang terlibat dengan bencana yang cukup dahsyat ini. Dapatan awal menunjukkan mangsa banjir menerima kejadian yang berlaku sebagai qada’ dan qadar daripada Allah S.W.T”.

Antara kawasan yang telah dilawati oleh kumpulan penyelidik USIM adalah di daerah Temerloh dan Maran bermula 1 hingga 4 Januari 2015. Selain menjalankan temubual bersama mangsa banjir, kumpulan penyelidik turut menyampaikan bantuan minuman, makanan, pakaian dan khidmat kesukarelawanan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir serta memberikan nasihat-nasihat keagamaan kepada mereka yang memerlukan.

Menurut Dr Irwan, semasa berada di kawasan penempatan banjir, beliau mendapat banyak pertanyaan mengenai isu fiqah bencana seperti pelupusan Al-Quran yang rosak akibat banjir dan mengambil wuduk daripada air banjir.

“Kita ingin tahu setakat manakah pemahaman mangsa banjir mengenai perlaksanaan ibadat di tempat yang ditenggelami air seperti mengambil wuduk dengan air banjir. Berdasarkan pemerhatian kami masih ada yang mangsa tidak tahu bahawa air banjir boleh digunakan untuk mengambil wuduk dan mandi wajib”.

Tambah Dr Irwan, beliau berharap modul atau panduan fiqah banjir yang bakal mereka bangunkan ini dapat diedarkan kepada mangsa jika berlaku bencana banjir pada masa akan datang.

“Kita juga akan mencadangkan sesi pengisian keagamaan di tempat-tempat penempatan banjir seperti kelas mengaji dan ceramah agama untuk mengisi masa lapang mangsa banjir.”

Disediakan oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204