NILAI – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyumbang sejumlah RM50,000.00 kepada Tabung It’am Muhtajin (Food for Needy) dan Tabung Infaq Ibnu Sina (Bantuan Perubatan Pelajar USIM), melalui Pusat Wakaf dan Zakat, Universiti Sains Islam Malaysia.

Melalui sumbangan ini, sejumlah 100 orang pelajar asnaf USIM layak menerima Bantuan Bakul Rahmah berjumlah RM100.00 setiap seorang, selain daripada tajaan berbuka puasa kepada 800 orang pelajar sempena Program Ihya’ Ramadan di USIM. Tambahan pula, sumbangan kepada kos rawatan perubatan pelajar akan membantu mengurangkan beban kewangan mereka yang memerlukan rawatan di klinik panel terpilih.

“Penting bagi kita untuk mensyukuri segala nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kerana dalam nikmat rezeki tersebut ada bahagian orang lain yang perlu dikongsi,” kata Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani yang hadir bagi menyempurnakan perasmian Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Bakul Rahmah PUNB-USIM tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Zakat PUNB, Encik Fauzi Zakaria berkata sumbangan ini diharap dapat memberikan manfaat kepada pelajar USIM.

“Sumbangan yang diberikan ini tidaklah seberapa namun ia akan meninggalkan kesan mendalam kepada pelajar yang menerimanya kerana pelajar inilah yang bakal memimpin negara kita pada masa akan datang.”

PUNB ditubuhkan dengan tujuan meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam bidang keusahawanan dan membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang dinamik, progresif, dan berdaya tahan. Bermula 2019, PUNB telah disenaraikan sebagai syarikat di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Majlis penyerahan sumbangan telah diadakan di Executive Lounge, Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM, dan turut hadir pada majlis tersebut ialah Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); serta Profesor Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat.

 

Oleh: Nurul Husna Annuar