Bandar Baru Nilai, 12 Mac 2010 – Pepatah melayu ada mengungkapkan “Melentur Buluh biar dari rebungnya” sekaligus mengingatkan kita betapa pentingnya untuk mendidik kanak-kanak sebagai khazanah modal insan tidak ternilai. Idea bernas Datin Seri Rosmah Mansor memperkenalkan Pusat Permata Negara memberi anjakan paradigma dalam pembangunan minda kelas pertama masyarakat Malaysia di atas slogan “Setiap Anak Permata Negera”.

Demi menyahut seruan kerajaan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Permata Insan yang kini beroperasi di aras dua Bangunan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM. Jawatankuasa Program Permata Insan ini merangkumi jawatankuasa promosi, pembangunan USIM-1 dan pembangunan Kurikulum. Ahli jawatankuasa ini melibatkan kakitangan akademik dari pelbagai fakulti.

Program Permata Insan ini bermula apabila pihak USIM bersetuju menerima tawaran dari Kerajaan untuk melaksanakan program ini. Justeru itu pihak Universiti telah memberikan kepercayaan kepada pakar-pakar dalam pelbagai bidang berkaitan melibatkan kakitangan akademik, pengurusan dan professional, serta sokongan. Ianya merupakan kolaborasi menyeluruh universiti dan mendapat sokongan padu daripada pengurusan tertinggi.

Program ini merupakan kerjasama di antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dalam usaha membimbing golongan pelajar pintar menguasai ilmu agama dan keduniaan serta menghasilkan bakal ilmuan dan pemikir Islam yang agung berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Program ini melibatkan kanak-kanak yang berusia lapan tahun hingga 18 tahun.

USIM bersama-sama dengan JAKIM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terlibat dalam merancang dan menggubal modul program yang menekankan pendidikan ilmu wahyu disamping membimbing golongan pelajar pintar itu memcapai cita-cita mereka.

Pusat Permata Insan USIM telah dirasmikan oleh YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Penaung program PERMATA Negara.

Antara objektif Program Permata Insan ditubuhkan adalah mengenalpasti pelajar pintar seawal mungkin supaya potensi dan kebolehan mereka dapat dibangunkan secara menyeluruh ke tahap yang optimum. Selain itu menyedia dan membangunkan sistem sokongan termasuk ibu bapa bagi membantu perkembangan holistik pelajar PERMATA. Ianya juga bertujuan membina kolaborasi di antara USIM, agensi-agensi kerajaan, pihak NGO dan universiti-universiti dalam dan luar negara yang berkaitan bagi membina dan memantau program pendidikan pelajar PERMATA.

Hasil Program Permata insan diharapkan dapat melahirkan bakal pelajar yang berorientasikan Al-Quran yang mampu membangunkan tradisi keilmuan Islam yang terbilang sesuai dengan persekitaran dan teknologi terkini. Di samping itu pelajar Permata Insan mampu menjadi ilmuan agama, tenaga profesional, teknokrat dan saintis yang memahami, menghayati dan mengaplikasikan Al-Quran sebangai pandangan hidup.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh Pusat Permata Insan USIM adalah diskusi intelektual yang diadakan pada awal November 2009 yang bertujuan untuk menyumbangkan buah fikiran bagi menambahbaik Program Permata Insan USIM. Selain itu Jawatankuasa Program Permata Insan akan mengadakan sesi lawatan dalam dan luar negeri dalam usaha untuk membina kolaborasi dan jalinan kerjasama dan Ujian Kecerdasan Minda Kanak-Kanak dengan kerjasam UKM bertujuan untuk membantu ibu bapa mengetahui tahap pencapaian anak mereka dari segi pembangunan mental dan fizikal.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028