NILAI, 26 OKT 2015 – Sebagai menghargai dan menzahirkan tanda terima kasih kepada penyumbang koleksi perseorangan kepada perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), satu Majlis Apresiasi Penyumbang Koleksi Perseorangan telah diadakan pada 26 Oktober.

Koleksi Perseorangan adalah merujuk kepada koleksi yang dimiliki oleh penyumbang, sama ada daripada hasil karya penyumbang atau daripada koleksi simpanan peribadi yang merangkumi pelbagai bidang perkara, khususnya yang berkaitan dengan bidang kepakaran mereka.

Ia bukan sahaja menjadi sumber maklumat penting kepada warga USIM, malah ia menjadi sumber rujukan oleh para penyelidik yang mengkaji tentang latar diri penyumbang atau bidang perkara yang berkaitan dengan kepakaran mereka. Penyumbang tidak sahaja terhad kepada perolehan bahan daripada koleksi tokoh atau individu di USIM, malah ia terbuka kepada tokoh dari luar USIM juga.

Menurut Ketua Pustakawan USIM Encik Jasmin Jaimon, idea penubuhan Koleksi Perseorangan terhasil apabila Perpustakaan menerima sumbangan terawal daripada Puan Salmah Abu Bakar, iaitu balu Allahyarham Tuan Haji Mashadi Salamon, yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, di mana Perpustakaan telah menerima bahan koleksi beliau sebanyak 397 naskah.­­­­­­­­­­­­­­­

“Semenjak itu, koleksi ini terus berkembang dan sehingga kini Perpustakaan USIM telah mempunyai tujuh Koleksi Perseorangan iaitu dengan jumlah judul sebanyak 3284 dan naskhah sebanyak 4225. Mereka adalah Allahyarham Tuan Haji Mashadi Haji Salamon, Allahyarham Tan Sri Dato’ Abdul Kader Talip, Allahyarham Datuk Haji Mohd Mortadza Haji Daud, Profesor Madya Dr. Che Wan Chik Che Wan Ibrahim, Allahyarham Tuan Yaacob @ Ranjit Singh Sodhy Abdullah, Profesor Dr. Adel M. Abdulaziz Algeriani, dan Profesor Madya Dr. Mohd. Rumaizuddin Ghazali.

Setiap satu koleksi tersebut diberikan satu nombor panggilan yang unik, yang diambil daripada abjad awal penyumbang terbabit. Sudut akses, Koleksi Perseorangan ini hanya untuk rujukan di Perpustakaan sahaja dan pinjaman bahan tidak dibenarkan. Sehingga kini USIM memperolehi sejumlah 86,344 koleksi bahan bercetak di perpustakaan USIM”, tambah Encik Jasmin.

USIM kini telah melanggan 13 pangkalan data atas talian (online database) dengan 88,479 bahan di dalamnya bagi memudahkan pengunjung yang datang ke perpustakaan mendapat data yang hendak dicari. Secara rawak, kehadiran pengunjung ke perpustakaan daripada Januari 2015 – Oktober 2015 adalah seramai 146,779 di mana puratanya adalah seramai 606 pengunjung sehari.

Oleh itu, sebagai alternatif untuk pengembangan koleksi perpustakaan, maka perpustakaan amat digalakkan untuk mendapatkan bahan-bahan perpustakaan melalui sumbangan bahan daripada pelbagai pihak, terutamanya tokoh-tokoh ilmuwan dan akademik. Ini adalah kerana sebilangan besar tokoh-tokoh ilmuwan mempunyai koleksi sendiri yang menghimpunkan hasil karya sendiri dan juga pelbagai buku berkaitan kepakaran masing-masing.

Di akhir majlis, Naib Canselor USIM turut melancarkan sebuah buku Bio-Bibliografi Penyumbang Koleksi Perseorangan Perpustaan USIM serta menyampaikan cendehati kenangan kepada penyumbang koleksi.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204