Nilai, 18 Oktober  2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengorak langkah dengan menganjurkan Seminar Kecemerlangan Mahasiswa FELDA di Institusi Pengajian Tinggi 2009. Program ini adalah anjuran Sekretariat Permuafakatan Siswa/Siswi FELDA (PERSADA) yang merupakan Badan Pelajar yang baru ditubuhkan di USIM.

Hampir 500 mahasiswa dari 12 IPTA seluruh Malaysia menyertai Seminar ini. Antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

Menurut Y.B Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, program ini merupakan kali pertama dianjurkan yang bertujuan untuk mengumpulkan anak-anak FELDA di seluruh IPTA lain bagi mengeratkan hubungan silaturrahim sesama mereka. Program berbentuk ilmiah ini juga bertujuan melahirkan anak-anak FELDA yang bijak serta bermotivasi tinggi.

FELDA juga telah merancang pelbagai aktiviti seperti Latihan Kemahiran Generasi Baru sejak tahun 2005 bermatlamat melatih generasi baru FELDA dalam pelbagai bidang kemahiran dan vokasional di peringkat Sijil dan Diploma bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Seramai 22,038 pelatih telah dan sedang dilatih di bawah skim ini yang mana kursus-kursus yang ditawarkan adalah kursus yang berprofail tinggi serta mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran kerja seperti bidang kejuruteraan kapalterbang, perhotelan, pelancongan dan Trainee Junior Technician dengan kerjasama Malaysian Airlines System (MAS), Cadet Pilot dan Air Asia”, tambah Y.B Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan semasa merasmikan Seminar Kecemerlangan Mahasiswa FELDA di Institusi Pengajian Tinggi di kampus USIM hari ini.

Bagi Siti Khadijah Idris, 20, yang merupakan pelajar USIM dari Felda Kemasul, Triang Pahang, inisiatif USIM menganjurkan program sebegini supaya pewaris kepada generasi FELDA terus berusaha gigih untuk menjadi yang terbaik di antara yang terbaik dan menjadi wadah pemangkin kepada kejayaan anak-anak FELDA di arus perdana.

Menurut Norsabrina Mohd Anuar, 20, pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari Felda Johor, Ulu Tebrau, seminar sebegini adalah sangat bagus untuk perkembangan anak-anak FELDA dan diharap dapat diperluaskan di peringkat antarabangsa dengan penyertaan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan juga swasta.

Wan Zainuddin Wan Mashom, 21, pelajar dari Universiti Malaya (UM) berkata, program ini merupakan salah satu cara bagi meningkatkan kecemerlangan anak FELDA untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028