NILAI – Memberi pendedahan awal dan seterusnya memupuk minat menulis kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) di universiti,  Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Bengkel Penulisan Artikel Majalah dan Akhbar pada 21 dan 22 Januari 2014 yang lalu.

Bengkel ini telah dibimbing sepenuhnya oleh Puan Nisah Haron, seorang penulis sepenuh masa yang juga merupakan seorang daripada Munsyi Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertempat di Bilik Seminar Perpustakaan USIM, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Penganjuran bengkel ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan peserta seramai 23 orang yang terdiri dari USIM serta peserta luar antaranya Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sepanjang bengkel ini berlangsung, peserta diberikan pelbagai tips dan perkongsian pengalaman oleh Puan Anisah yang aktif dibidang penulisan ilmiah di media cetak, majalah dan buku. Menurut salah seorang peserta, Puan Nor Azzah Momin, antara pengisian yang menarik adalah kaedah pencarian idea untuk menulis, kaedah penulisan yang baik, ilmu berkenaan tatabahasa Melayu, ruang dan peluang menulis serta motivasi untuk menulis.

“Bengkel Penulisan Artikel Majalah dan Akhbar seperti ini amat baik kerana secara tidak langsung, ia dapat menaikkan kedudukan sesebuah universiti dalam Malaysia Research Assessment (MyRA) di mana jumlah penulisan dalam akhbar dan majalah turut dikira sebagai salah satu komponen dalam penilaian”

Penganjuran bengkel oleh PRAGMATIS ini juga sebenarnya bertindak sebagai serampang dua mata, iaitu bukan sahaja menarik minat untuk menulis, ia juga akan memberi nilai tambah kepada kakitangan tersebut iaitu kemahiran menulis, menggalakkan budaya membaca serta menjadikan mata pena sebagai medan perkongsian ilmu pengetahuan bersama masyarakat melalui penulisan separa ilmiah yang diterbitkan

Bagi pihak penganjur, bengkel seperti ini diharapkan dapat memberikan ilmu dan kemahiran baharu kepada semua peserta dan dapat membantu mereka untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang penulisan dan pada masa sama meningkatkan prestasi kerja mereka dan mempromosikan Universiti dan imej perkhidmatan masing-masing.

Disediakan oleh :
Urusetia Bengkel Penulisan Artikel Majalah dan Akhbar

Dikemaskini oleh:
Mohd Zaini Othman (StraComm)