NILAI – Bagi mempamerkan kesarjanaan dan mengukuhkan reputasi akademik dalam kepakaran bidang profesor yang disandang oleh Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan Majlis Syarahan Perdana Profesor bertajuk Kerangka Baharu Perhubungan Media di Malaysia yang diadakan di Dewan Kuliah Fakulti 1.2, FKP pada 11 Disember 2024 dengan kehadiran 150 orang dalam kalangan warga USIM dan pelbagai agensi luar dalam bidang Komunikasi.
Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin dilahirkan di Teluk Intan, Perak pada 29 April 1965. Beliau melanjutkan pengajiannya ke peringkat Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Sastera (Komunikasi) pada tahun 1990 dan memasuki alam pekerjaan sebagai Pegawai Perhubungan Awam di UKM sejurus menamatkan pengajian. Dalam kesibukan bertugas, beliau bertekad melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di universiti yang sama dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana pada tahun 1999. Pada tahun 2001 beliau menamatkan perkhidmatan di UKM kerana ditawarkan sebagai pensyarah di Universiti Malaya (UM).
Berkhidmat sebagai pensyarah telah membuka peluang beliau untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UM dan dianugerahkan PhD pada tahun 2010. Sepanjang berkhidmat sebagai pensyarah, Profesor Dr Mohd Yahya memberi tumpuan kepada tugas hakiki dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan di samping berkongsi ilmu dengan pihak industri. Beliau telah berkhidmat selama 10 tahun di UM dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, dan Pensyarah Kanan.
Mohd Yahya meneruskan kerjaya ahli akademik dalam Program Komunikasi, di FKP USIM pada 1 Disember 2011 dengan jawatan Profesor Madya. Beliau terus aktif dengan kegiatan akademik selain menjawat jawatan khas pentadbiran sebagai Pengarah Perancangan Strategik dan Komunikasi Korporat, dan Penolong Naib Canselor, Perancangan Strategik dan Komunikasi Korporat, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) dan sebagai Ahli Senat Universiti pada tahun 2015 sehingga kini.
Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang perhubungan awam, kewartawanan dan komunikasi. Setakat ini telah menghasilkan lebih 400 buah penerbitan termasuk buku akademik, buku umum, bab dalam buku, artikel dalam jurnal berwasit/berimpak, prosiding akademik serta rencana dalam akhbar harian tempatan.
Beliau merupakan penggerak kepada penubuhan Kursi Kepemimpinan Islam, Tuan Guru Haji Mohd Yassin di FKP pada tahun 2015 dengan tajaan sebanyak RM500 ribu oleh Yayasan Nurul Yaqeen. Penerbitan Journal of Contemporary Islamic Communication and Media atau Al-I’lam, FKP sejak tahun 2021 merupakan hasil cetusan buah fikiran Profesor Dr Mohd Yahya. Beliau juga merupakan pendorong yang kuat untuk Jurnal al-Abqari untuk mencapai taraf Scopus, insyaAllah.
Bagi menghargai kecemerlangan graduan FKP, beliau berjaya mewujudkan beberapa anugerah kecemerlangan konvokesyen peringkat sarjana muda hingga doktor falsafah dengan tajaan daripada pihak luar. Antaranya, Malaysian Press Institute (MPI), Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Persatuan Kaunseling Malaysia (Pekama), Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin, dan International Educational Scientific and Culture Organisation (IESCO). Terbaharu, daripada Koperasi Usaha Bersatu (KOSMA), Pahang dan Yayasan Semporna Prihatin.
Beliau turut menggerakkan penubuhan Tabung USIM Prihatin bertujuan membantu warga USIM yang ditimpa musibah seperti banjir. Tabung tersebut berjaya mengumpul sebanyak RM260 ribu sejak ditubuhkan dan telah diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Beliau juga mencadangkan penubuhan Tabung Industri luar negara FKP untuk pendedahan pelajar di luar negara melalui Latihan Industri sebagai bantuan kewangan untuk menampung kos mereka di luar negara.
Dengan kepakaran dan pengalaman yang ada, beliau turut terlibat aktif di peringkat kebangsaan. Sejak tahun 2021, beliau merupakan Presiden, Persatuan Pendidikan Komunikasi Malaysia (MACE) dengan lebih 200 keahlian dari 39 buah universiti dan kolej universiti awam dan swasta. Selain itu, merupakan Panel Hakim Hadiah Kewartawanan Malaysia, MPI-PETRONAS anjuran Malaysian Press Institute (MPI) sejak tahun 2010. Beliau juga pernah menjadi kolumnis kepada akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia berkaitan isu-isu pendidikan dan kerjaya.
Profesor Dr Mohd Yahya banyak memberi sumbangan kepakaran dan idea kepada lebih 30 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan. Beliau terlibat secara aktif sebagai Ahli Jawatankuasa dan Pembimbing Program Akademi Menara Gading (AMG), Yayasan Al-Sultan Abdullah, Kuantan, Pahang. Program ini dilaksanakan bagi membantu anak-anak orang miskin, anak yatim serta murid-murid Orang Asli dari kawasan luar bandar di seluruh Negeri Pahang, juga di Kuala Lumpur khususnya untuk anak-anak keluarga asnaf. Atas sumbangan selama ini, beliau telah dianugerahkan pingat Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) pada tahun 2019 oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Beliau turut menerima pengiktirafan dengan anugerah Best Professor in Leadership and Management pada tahun 2018 daripada The Golden Globe Tigers, Mumbai, India.
Dengan pengalaman dan kepakaran yang diperoleh beliau, syarahan ini membincangkan peranan penting pengamal Perhubungan Awam (PR) dalam membina dan mengekalkan hubungan profesional dengan petugas media. Pengamal PR berperanan sebagai penghubung antara organisasi mereka dan pihak media, memastikan komunikasi dan publisiti yang berkesan.
Perhubungan media kekal relevan, dengan pengamal PR memberi tumpuan kepada penyediaan siaran media, menjawab pertanyaan, dan membina kepercayaan dengan media. Cabaran seperti kemunculan media sosial, data raya, dan kecerdasan buatan memerlukan pengamal PR untuk lebih kreatif dan inovatif. Penekanan diberikan kepada amalan etika, kejujuran, dan profesionalisme untuk membentuk persepsi positif pihak media terhadap mereka.
Cadangan termasuk penggunaan gaya penulisan yang ringkas dan berimpak, penerapan teknologi digital, dan pengekalan ketelusan semasa krisis. Jabatan PR disaran ditempatkan pada kedudukan strategik dalam organisasi serta dipimpin oleh individu berpengalaman. Dalam situasi krisis, komunikasi yang pantas dan tepat amat penting untuk mengelakkan persepsi negatif.
Akhirnya, syarahan ini menyeru agar kerangka baharu perhubungan media diperkukuhkan untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan keberkesanan amalan PR di Malaysia, memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, organisasi dan media.
Turut hadir sama pada majlis tersebut, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Nik Salida Nik Saleh, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato. Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pengurusan Tertinggi Universiti, Industri luar serta serta tetamu jemputan.