Bandar Baru Nilai, 5 Jun 2010 – Mantan Naib Canselor USIM dan juga Pengarah Institut Pengurusan & Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) Profesor Dato’ Dr Abdul Shukor Haji Husin dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri.

Darjah Kebesaran ini disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara bersempena dengan Hari Keputeraan Rasmi Baginda pada 5 Jun 2010.

Seramai 33 menerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang juga membawa gelaran Tan Sri terdiri antaranya Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri James Foong Cheng Yuen; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Dr Zulkefli A Hassan. Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Datuk Seri Abdul Shukor Abdullah.

Mendapat pendidikan M.A dan PhD dalam bidang Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Pengalaman dan sumbangan beliau kepada dunia pendidikan dan institusi agama di Malaysia tidak dapat dinafikan lagi. Dalam dunia pendidikan, beliau pernah menjadi Dekan Fakulti Pengajian Islam.

Beliau telah menghasilkan banyak buku, artikel dan jurnal di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa serta artikel-artikel dalam majalah, penerbitan popular dan penerbitan terbaru al-Nubuwwah Bainah al-Mutakallimin wa-al-Falasifah yang merupakan terbitan USIM.

Sehingga kini beliau telah membentangkan kertas kerta/pengulas kertas kerja, pengerusi persidangan dalam 101 persidangan di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa dan kali terakhir adalah pada 5 Februari 2009 iaitu Seminar Antarabangsa Pengajian Tinggi Islam anjuran Universiti Islam Sharif ‘Ali Brunei Darussalam sebagai pembentang kertas kerja: Pengajian Islam di Institusi Pengajian Tinggi Islam Masa Kini: Cabaran ke atas Ketulenannya.

Pihak pengurusan USIM mengucapkan tahniah dan syabas di atas penganugerahan yang diterima oleh Ybhg Profesor Tan Sri Dr Abdul Shukor Haji Husin. Sesungguh penganugerahan ini sekali gus mengangkat imej dan citra USIM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi  yang bertaraf antarabangsa berasaskan pengajian Islam yang kolektif dan konprehensif.

Oleh :
Mohd Hariri Hj. Mohamad Daud
Penolong Pendaftar
Unit Komunikasi Korporat
hariri@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028