Nilai, 19 Mei 2010 – Dekan Fakulti Sains & Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr. Musa Ahmad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baru bermula 15 Mei 2010.

Beliau dilantik menggantikan Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda yang telah dilantik sebagai Naib Canselor USIM pada 1 Disember 2009.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kelas Pertama) UKM, M.A (Instrumental & Analytical Science) dan PhD (Optical Chemical Sencor) dari University of Manchester.

Penguasaan beliau sebagai ahli akademik dapat dilihat melalui penyelidikan dalam bidang sains dan pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa seperti memenangi pingat emas di International Invention Geneva pada tahun 2005 dan memenangi pingat emas di Ekspo Penyelidikan dan Inovasi UKM.

Selain itu, beliau telah dianugerahkan The Royal Society of London & Academy of Science Malaysia Exchange Programme pada tahun 2000 untuk program sebatikal di University of Kent, Canterbury, UK. Beliau juga aktif dalam penglibatan akademik di organisasi-organisasi swasta dan awam dalam penggubalan kurikulum untuk Kementerian Pendidikan Malaysia dan Majlis Peperiksaan Malaysia.

Beliau juga banyak terlibat memberikan ceramah berkaitan penyelidikan dalam dan luar negara antaranya di University of Santa Thomas, Manila, University of Indonesia, Jakarta , Universitas Sumatera Utara, Indonesia dan banyak lagi. Disamping itu, beliau aktif dalam penulisan jurnal dan lebih dari 20 tulisan beliau diterbitkan dalam jurnal antarabangsa.

Kepakaran yang dimilikinya membuatkan beliau terlibat secara langsung dalam pembangunan kepakaran penyelidikan sensor kimia dan biosensor Universiti Kebangsaan Malaysia bermula tahun 1995 hingga 2005. Kumpulan penyelidik Sensor Kimia dan biosensor ini telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan di peringkat antarangsa dan nasional disamping melakukan penyelidikan seperti pembinaan sensor kimia untuk penentuan kepedasan cili, pembinaan biosensor kimia berasaskan teknik sol-gel untuk analisis pestisid dan sebagainya.

Oleh :
Mohd Hariri Hj. Mohamad Daud
Penolong Pendaftar
Unit Komunikasi Korporat
hariri@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028