NILAI – Seramai 35 sukarelawan yang terdiri daripada para pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai Program Khidmat Komuniti iCARE4N9 bersama-sama 40 orang kanak-kanak Rohingya dari Madrasah Anak-Anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah, Selayang di bawah kelolaan Sekretariat Pelajar Fakulti Sains & Teknologi (SekreFaST) pada 27 dan 28 Julai baru-baru ini.

Program dua hari satu malam yang bertempat di Kolej Kediaman Satu (KK1), USIM itu bertujuan untuk memperkasakan jati diri mahasiswa dengan penglibatan dalam kerja-kerja kemasyarakatan yang berbentuk libatsama komuniti dalam melahirkan graduan Al-Abrar yang berketerampilan dan mempunyai sifat kepimpinan yang sensitif dengan isu masyarakat dan ummah.

Menurut Penasihat program, Prof. Madya Dr Norita Md Norwawi,  Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar dan Pengurusan Prestasi) FST,  Program ini merupakan salah satu daripada Program Khidmat Komuniti iCARE4N9 anjuran Fakulti Sains dan Teknologi di bawah pembiayaan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan yang berjumlah RM15000. Program ini juga berbentuk “Corporate Social Responsibility”  iaitu sebagai sumbangan khidmat bakti warga USIM kepada masyarakat yang memerlukan bimbingan, motivasi dan sokongan dalam menjalani kehidupan.

“Penglibatan para mahasiswa dalam program sebegini dapat mengasah dan memantapkan bakat kepimpinan mereka dengan menajamkan pemikiran yang kritis  di samping memperoleh kemahiran kerja berpasukan secara profesional dan beretika. Program ini juga mampu membina keyakinan diri mahasiswa di samping keprihatinan dan sensitiviti kepada isu masyarakat sekeliling. Ciri-ciri keusahawanan dengan sikap yang proaktif, inovatif dan berjiwa besar juga dapat dipupuk dalam aktiviti sebegini.”, jelasnya lagi.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah Tadarus in Happy Circle, Jom Main Permainan Tradisional, Jelajah Bazar Ramadhan, Iftar dan Tarawikh di Masjid Putra, Putrajaya serta Travelog Sakinah ke KLCC. Selain itu, aktiviti yang amat menarik adalah Tautan Infaq iaitu anak-anak Rohingya telah dibawa ke Kenanga Wholesale City (KWC) untuk membeli pakaian baru hasil sumbangan daripada dermawan sebagai persiapan menyambut Eidulfitri yang bakal berkunjung tiba tidak lama lagi.

Menurut Pengarah program, Muhammad Miqdam Bin Mohd Rashid, program ini amat bermakna kerana merupakan salah satu wasilah untuk mahasiswa Islam mencakna isu ummah dan mengetengahkan isu sebegini yang sering tenggelam dalam kotak keprihatinan dan fikiran umat Islam itu sendiri kepada masyarakat umum. Ini merupakan isu ummah dan juga isu kemanusiaan yang jelas memerlukan peranan ummat Islam itu sendiri terutamanya golongan muda yang mendominasi golongan mahasiswa itu sendiri.

“Alhamdulillah, itu semulia-mulia ucapan saya sebagai tanda syukur kepada Allah SWT atas pertolongan-Nya dalam perkara-perkara yang kita tidak sangka. Kami telah menerima sumbangan yang banyak dan kerjasama yang baik dari pihak penaja yang sudi menyumbang untuk Program Jalinan Kasih Ad-Deen Masyarakat Rohingya seperti PTS, Yayasan Restu, Masjid Putra, Putrajaya, warga USIM termasuk pelajar dan pensyarah, DTC Motor dan orang-orang perseorangan. Keseluruhannya, program ini secara langsung telah banyak mengajar kami dalam pengurusan program, skill komunikasi berkesan dan kemahiran insaniah yang mantap seterusnya mendidik kami menjadi individu profesional. Memperkasa Ukhuwah Memimpin Keilmuan tetap menjadi visi kami dan tetap bercita-cita ingin merealisasikan harapan USIM untuk melahirkan generasi Al-Abrar. Saya berharap program ini dapat diteruskan lagi tidak kira isu apa yang ingin diketengahkan selagi matlamat dan objektif yang sama untuk membela dan membantu mereka yang dalam kesulitan ”, ujarnya.

Menurut wakil sukarelawan, Riza Asma’a Binti Saari, “Program seperti ini wajar diteruskan  untuk masa akan datang kerana ianya mampu memberi manfaat kepada kedua belah pihak iaitu penganjur dan juga anak-anak Rohingya yang mana penganjur dapat memupuk nilai-nilai positif seperti sabar, prihatin,tanggungjawab, peka dan memupuk sikap ambil tahu serta suka berbakti selaras dengan matlamat USIM untuk melahirkan generasi Al-Abrar. Bagi anak-anak Rohingya pula ini merupakan peluang keemasan mereka untuk memupuk keyakinan diri dalam berkomunikasi kerana seperti yang kita dapat lihat sebahagian daripada mereka mengalami kesukaran untuk  berkomunikasi dalam Bahasa Melayu sehingga menyebabkan mereka tidak dapat membiasakan diri dalam bergaul dengan masyarakat sekeliling.”

Disediakan oleh :

Pengurusan Program & StraComm