PUDURAYA, 15 Mac 2014 – Biro Kebajikan Nadi Thaqafah Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif bagi mendekati golongan gelandangan dengan  menganjurkan Program Jelajah Ummah bersama Gelandangan di sekitar ibu kota pada sabtu lepas.

Seramai 39 orang pelajar dan staf terlibat dalam program kali ini yang diketuai oleh Encik Shahrul Hafifi, penolong pendaftar pentadbiran FPBU. Sebanyak 200 bungkusan makanan telah diagihkan kepada golongan gelandangan di sekitar Puduraya dengan mendapat kerjasama dari Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dan sebuah badan bukan kerajaan iaitu Kindness.

Menurut pengarah program, Fatin Jalilah Mohd Jalil, objektif penganjuran program kali ini adalah bagi memupuk sikap prihatin dalam diri mahasiswa USIM selain dapat merasai sendiri kesusahan yang dialami oleh golongan ini, ia selari dengan objektif USIM selain melahirkan mahasiswa yang menjadi peneraju kepada ilmu Naqli dan Aqli, malah dapat melahirkan modal insan dengan penghayatan nilai Islam yang mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan berkesan dalam masyarakat.

“Kehidupan sebagai seorang mahasiswa tidak hanya tertumpu kepada akademik semata-mata namun khidmat komuniti kepada masyarakat adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian”, katanya lagi.

Aktiviti dimulakan dengan sesi taklimat kepada para peserta oleh pihak Kindness sebelum pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu zon 1 dan 2 yang meliputi sekitar Hentian Puduraya, Menara Maybank dan Petaling Streets.

Dalam pada itu, Abdullah bin Ismail, pelajar tahun dua FPBU dan merupakan Pengerusi Sekretariat yang turut serta dalam program ini berkata, program ini menampilkan sedikit kelainan kerana ia merupakan julung kali program dekati golongan gelandangan yang dijalankan oleh mereka. Atas keperihatinan terhadap golongan ini, Biro Kebajikan Nadi Thaqafah tampil menghulurkan sedikit sumbangan berupa makanan seperti nasi, sandwich dan air mineral.

Selain itu, para peserta turut dapat menyelami keadaan golongan ini secara dekat dan memberi pendedahan untuk lebih berfikiran terbuka terhadap golongan seperti ini. “ Ini merupakan pertama kali dalam hidup saya  untuk bersama rakan lain mendekati golongan ini dan saya sangat teruja apabila seorang pelancong warganegara Perancis, Said Benz turut serta bersama kami dalam mengagihkan makanan kepada golongan ini” tambah beliau lagi.

Program berakhir pada jam 2.30 pagi dan matlamat program tercapai kerana bantuan yang dihulurkan atas dasar kemanusiaan ini berjalan lancar seperti yang dirancangkan serta berharap program seperti ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media StraComm