NILAI, 7 September 2020 – Seramai hampir 300 pelajar tahun akhir daripada 13 universiti awam di Malaysia telah berjaya menamatkan program kebolehpasaran graduan peringkat nasional – Certified Professional Shariah Auditor (GE CPSA) 2020 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai.

Antara universiti yang turut serta adalah daripada Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, UNIMAS, Universiti Malaysia Kelantan, UPSI, Universiti Malaysia Terengganu dan UITM.

Program ini mensasarkan pelajar tahun akhir dengan latar belakang Perbankan Islam, Perakaunan, Matematik Komputer, Matematik Kewangan, Ekonomi Sumber Alam dan Muamalat atau Syariah. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan serta melahirkan juruaudit shariah yang terlatih dalam memenuhi keperluan industri terutamanya dalam aspek Kewangan Islam.

Program GE CPSA anjuran bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM) ini mengandungi 6 modul yang dilaksanakan bermula 20 Julai 2020 dengan kaedah secara atas talian disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Selain itu, para peserta juga telah menghadiri sesi ulangkaji dan peperiksaan yang berakhir pada 29 Ogos 2020 di kampus USIM Nilai, Negeri Sembilan.

Prof Dato’ Dr Mustafa Mohd Hanefah selaku Ketua Kluster Accounting, Auditing and Governance in Islamic Institutions (AAGII), Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) USIM berkata, perasaan berbesar hati serta bangga kerana pelaksanaan program GE CPSA pada tahun ini memperlihatkan peningkatan penyertaan serta kepercayaan yang diberikan oleh pihak KPT terutamanya terhadap USIM dan IBFIM. Universiti mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak KPT kerana telah sudi untuk menaja program pada tahun ini untuk diadakan di peringkat nasional dengan penawaran terhadap lebih ramai peserta berbanding cuma 50 peserta untuk program yang sama pada tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, En Yusry Yusuf turut menzahirkan ucapan terima kasih terutamanya terhadap pihak KPT di atas kesudian mengiktiraf program CPSA sebagai salah satu daripada program yang diluluskan di bawah inisiatif kebolehpasaran graduan nasional bagi tahun 2020. Menurutnya, perkara ini membolehkan lebih ramai bakal graduan untuk menduduki program profesional seperti CPSA. Perkara ini selari dengan aspirasi untuk melahirkan lebih ramai juruaudit Shariah yang cekap dan terlatih bagi memenuhi keperluan industri terutamanya kewangan Islam.

Manakala, menurut Encik Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin selaku penyelaras program GE CPSA 2020, penganjuran program seumpama ini mampu untuk memberikan para peserta nilai tambah terutamanya di dalam proses mencari peluang pekerjaan yang kian mencabar terutamanya disebabkan oleh pandemik COVID-19.

”Unjuran perangkaan menunjukkan peratusan pengangguran semakin meningkat kepada hampir 1 juta orang yang kehilangan pekerjaan dan ini meningkatkan lagi persaingan terhadap bakal graduan dalam mencari peluang pekerjaan. Maka, dengan pelaksanaan program GE CPSA ini sedikit sebanyak dapat membantu para peserta ini dalam mendapatkan pekerjaan sejurus tamat pengajian pada tahun ini”, jelas Iqmal.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan