NILAI – Badan Kebajikan Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (BKUSIM) meneruskan komitmen kebajikannya melalui penganjuran Program Kembali ke Sekolah menjelang sesi persekolahan baharu 2026 yang berlangsung di AEON Mall Nilai baru-baru ini.
Sebagai inisiatif menyantuni anak-anak daripada kategori B40 serta anak-anak istimewa, program ini bertujuan meringankan beban ibu bapa di samping memastikan para pelajar menerima keperluan asas persekolahan seperti beg sekolah, alat tulis dan kelengkapan pembelajaran yang mencukupi.
Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik merangkap Pengerusi BKUSIM, Encik Nur Ekmal Buhary berkata, seramai lebih 50 orang anak terpilih telah menerima tajaan sumbangan barangan persekolahan menerusi inisiatif ini.
“Program ini mencerminkan keprihatinan USIM terhadap kebajikan keluarga staf serta komitmen universiti dalam memastikan anak-anak ini dapat memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih ceria dan bersedia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Program Kembali ke Sekolah mendapat sokongan penaja utama Co-opbank Pertama (CBP) serta penaja lokasi AEON Mall Nilai yang menyediakan kemudahan dan ruang pelaksanaan program.
Tambah beliau, program ini bukan sahaja membantu menyediakan kelengkapan persekolahan, malah menjadi platform menyemai nilai empati, kebersamaan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga kampus. Usaha ini sejajar dengan aspirasi USIM untuk melahirkan komuniti berdaya saing, berakhlak dan cakna sosial selari dengan agenda kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Wilayah CBP, Encik Munib Hanis Mohammad berkata, kerjasama tersebut akan diteruskan bagi menerajui pelaksanaan program pada tahun 2026 dengan hasrat untuk meluaskan lagi peluang sumbangan dan manfaat kepada lebih ramai penerima.
Dalam pada itu, Mohd Haffiz Ridzwan, Pembantu Keselamatan USIM, menzahirkan penghargaan atas sumbangan barangan persekolahan yang diterima kerana ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga, khususnya bagi anak beliau yang bakal melangkah ke peringkat menengah.
Penganjuran program ini turut melibatkan kerjasama serta sumbangan pelbagai pihak dalaman USIM termasuk Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC), Pusat Kebudayaan, Pusat Komunikasi Strategik, Jabatan Bendahari, Pejabat Audit Dalam, Pusat Sukan, Pusat Kerjaya dan Alumni, Pusat Wakaf dan Zakat, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta rakan strategik industri dan komuniti.





