NILAI, 17 MAC 2016 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) memperkasakan hubungan strategik yang sedia terjalin melalui pelaksanaan Program Sijil Peningkatan Kemahiran Profesional USIM-BIMB kepada kakitangan Bank Islam.

Seramai 40 orang graduan dari kohot 1 dan 2 program khas ini diraikan apabila berjaya menerima sijil masing-masing sempena Majlis Graduasi Program Pensijilan USIM-BIMB 2016.

Majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dihadiri oleh Dato’. Seri Zukri Samat, Pengarah Urusan Bank Islam, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM dan Prof. Madya Dr. Noor Azizi Ismail, Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU).

“Program Sijil Peningkatan Kemahiran Profesional USIM-BIMB ini dijalankan bermula Jun 2015 dan merupakan program perkongsian pintar antara USIM-BIMB. Melalui program ini, terdapat 4 kohot pelajar yang terlibat di mana setiap kohot diwakili oleh 20 orang. Pihak USIM juga mengalu-alukan peserta dari kohot 3 dan 4 yang baru menyertai program ini pada Januari 2016”.

“Pihak USIM ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak BIMB di atas kerjasama dan kepercayaan yang diberikan kepada USIM dalam melaksanakan program ini”, ujar Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad.

Sementara itu, Dato Seri Zukri Samat berkata objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan profesionalisma kakitangan BIMB dari aspek Bahasa Inggeris, pengurusan, pengurusan ICT, dan sebagainya.

“Diperingkat USIM, BIMB bekerjasama dengan FPBU yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakan kursus yang kita kehendaki. Objektif ini sejajar dengan salah satu agenda penting bagi BIMB iaitu “Membina Kumpulan Bakat Dalaman” untuk memupuk budaya prestasi tinggi dan produktiviti yang cemerlang”.

Pada majlis graduasi ini juga, seramai lima orang graduan terpilih menerima anugerah khas daripada Pengarah Urusan Bank Islam sendiri atas pencapaian cemerlang masing-masing dalam akademik sepanjang mengikuti pensijilan ini. Muhd Sirajul Fikri Salleh, kakitangan Bahagian Operasi Cawangan Bank Islam (Ibu pejabat) dipilih pelajar terbaik keseluruhan Program Sijil Peningkatan Kemahiran Profesional USIM-BIMB kali ini.

Program Sijil Peningkatan Kemahiran Profesional USIM-BIMB merupakan platform terbaik untuk memaksimakan kesejajaran halatuju USIM dan BIMB selaku institusi pendidikan dan kewangan yang berteraskan Islam di negara ini. Turut hadir dalam majlis ini adalah Pihak Pengurusan Kanan USIM dan BIMB, serta ahli keluarga para graduan.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204