Nilai, 19 Okt – “Transforming people from good leader to great leader”, itulah saranan Yang  Berbahagia Datuk Ab Rahim Md. Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi ketika majlis pelancaran Program Transformasi Kepimpinan Mahasiswa (PTKM) yang telah diadakan di Galeri Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam.

Menurut beliau, proses membina personaliti unggul memerlukan usaha dan komitmen yang besar dalam pembangunan kompetensi dan kepimpinan mahasiswa selain mewujudkan gerak kerja secara berkolaboratif bersama  pihak luar.

“Winning heart and mind”, itu antara penegasan yang turut beliau ketengahkan. Tambah beliau, minda dan hati mahasiswa perlu dimenangi terlebih dahulu bagi melakukan transformasi.  Beliau juga menzahirkan harapan agar program kesedaran USIM dapat membuka minda mahasiswa agar lebih cenderung dalam kehidupan bermasyarakat.

PTKM merupakan  salah satu Projek Rangsangan  2011 yang telah dicetuskan oleh Naib Canselor USIM  dan dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) USIM. Seramai 100 orang peserta telah dipilih untuk menyertai program ini.

Antara objektif utama yang ingin direalisasikan melalui program ini adalah untuk  membuka perspektif peserta kepada elemen-elemen sokongan yang berkaitan dengan kepimpinan, meluaskan pemikiran peserta agar berpandangan jauh ke hadapan dan membentuk  sifat-sifat al-Abrar atau berbakti dalam diri peserta.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda dalam ucapan beliau berkata, aspek transformasi diri yang diutarakan dalam program berilmiah ini dilihat mampu menjadi salah satu platform ke arah pembangunan pembinaan  diri mahasiswa.

PTKM adalah  bertepatan dengan USIM KRA 1 iaitu ke arah membentuk dan melahirkan graduan holistik dan berdaya gaji tinggi.

USIM bukan sahaja menitikberatkkan kemajuan pembangunan universiti semata-mata bahkan turut menekankan aspek pembinaan jati diri mahasiswa itu sendiri.  Empat bidang utama yang boleh diceburi mahasiswa untuk membina satu anjakan transformasi diri adalah meliputi bidang kesukanan, kebudayaan dan kesenian, kesukarelawanan dan khidmat sosial serta bidang politik dan alam sekitar.

Menurut NC lagi, GISO (Global Islamic Students Outreach) merupakan salah satu inisiatif awal pihak universiti untuk merealisasikan harapan ke arah membentuk modal insan yang  berkredibiliti. Sebanyak 14 program dibawah GISO yang telah dijalankan  di sembilan buah negara yang dilihat sebagai salah satu usaha jitu pihak universiti bagi memastikan transformasi ini berjaya dibentuk dalam kalangan mahasiswa.

Tiga elemen  sokongan yang telah diketengahkan melalui program ini adalah elemen kesedaran khidmat sosial, kesedaran pemuliharaan alam sekitar dan kesedaran kepenggunaan.

Aktiviti-aktiviti PTKM telah pun bermula pada awal oktober yang lalu di mana para peserta dibawa ke pusat sehenti intervensi untuk golongan gelandangan di Kuala Lumpur pada 7,8,14 dan 15 Oktober 2011. Peserta juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman turun ke jalanan dan mengagihkan makanan percuma kepada golongan gelandangan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur

USIM juga telah mengorak langkah awal  dengan menghantar sebahagian pelajar ke Sungai Temiang  pada 16 dan 19 Oktober yang lalu untuk diberi pendedahan mengenai pemuliharaan sungai. Mahasiswa telah diperkenalkan dengan satu teknologi baru dalam proses pembersihan dan penjernihan air sungai iaitu bebola lumpur yang dikenali sebagai EM Mudballs. Menerusi aktiviti ini, para peserta berpeluang membuat sendiri EM Mudballs dan melontarkannya ke Sungai Temiang.

En. Nordin Yunus, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan (JPSNS) menegaskan bahawa masyarakat perlulah berfikiran lebih progresif dan bertindak dengan lebih awal atas segala kemungkinan yang akan berlaku pada masa depan terutamanya dalam aspek  penjagaan alam sekitar.

Pada hari yang sama, para peserta  juga telah dibawa ke Teluk Kemang, Port Dickson untuk melestarikan aktiviti pembersihan pesisir pantai yang merupakan salah satu daya tarikan menarik di Negeri Sembilan.

“USIM adalah IPTA terawal mengambil inisiatif bijak melalui kolaborasi bersama JPSNS dalam usaha membersihkan  kawasan pantai’, ujar En Jefri Mohd Hassan, Juru Teknik Kanan Port Dickson.

Oleh

Ejen Berita HEP :  Wan Nor Zadilah Wan Mohamad, Suhaila Said, Norashikin Awaluddin, Norhafizah Arshad,Suliza Kasno & Ummu Majidah Sururi